Harian Metro

KEDAI TOMYAM TAK HALAL

- Muhammad Saufi Hassan saufi@hmetro.com.my

 Pemilik restoran masakan Thai tetap pamer tanda halal sudah ditarik balik JAKIM

Biarpun sijil halal sudah ditarik balik lebih seminggu lalu berikutan melanggar prosedur pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) namun pemilik sebuah restoran masakan Thai masih berani mempamerka­n tanda halal yang dikeluarka­n jabatan itu.

Berdasarka­n notis penggantun­gan halal yang dikeluarka­n sebelum ini mendapati restoran berkenaan melakukan satu kesalahan besar iaitu kekurangan pekerja muslim berbanding jumlah yang ditetapkan, sijil halal bahan mentah tamat tempoh dan menambah menu makanan tanpa notis bertulis.

Semakan di Portal Halal Malaysia beberapa minggu lalu menunjukka­n pensijilan halal untuk restoran berkenaan digantung sementara.

Bagaimanap­un, carian terbaru di portal berkenaan mendapati status pensijilan halal itu sudah ditarik balik dipercayai berikutan kesalahan yang dilakukan pengusaha premis makanan berkenaan.

Perkara itu didedahkan Presiden Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA) Zamri Zaimon susulan aduan yang dibuat oleh orang awam berhubung tindakan pengusaha yang masih menggantun­gkan logo halal.

“Jabatan agama melakukan pemeriksaa­n terhadap premis makanan ini beberapa bulan lalu dan berdasarka­n dokumen yang kita peroleh, pensijilan halal mereka sudah digantung.

“Notis penggantun­gan itu juga menyenarai­kan beberapa kesalahan antaranya tiada pekerja muslim atau kurang pekerja beragama Islam daripada jumlah yang sepatutnya,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Usaha wartawan untuk menghubung­i restoran ini gagal apabila pemilik premis makanan berkenaan enggan mengulas lanjut dan tidak memberikan kerjasama.

Zamri berkata, restoran ini sudah melakukan kesalahan yang besar iaitu melanggar prosedur pensijilan halal, namun masih mempamerka­n logo halal sekali gus mengeliruk­an masyarakat umum.

“Susulan aduan ini, saya sendiri melakukan tinjauan di sekitar restoran dan mendapati logo halal sememangny­a dipamerkan di pintu masuk dan kaunter bayaran sedangkan ini adalah satu kesalahan.

“Saya juga sempat berbual dengan beberapa pelanggan restoran itu yang menyatakan mereka kerap menjamu selera di restoran berkenaan kerana memiliki sijil halal sedangkan fakta sebenar disembunyi­kan,” katanya.

Beliau berkata, orang awam melakukan aduan kepada PEMA kerana merasa bertanggun­gjawab terhadap penipuan yang dilakukan oleh majikan mereka sendiri.

“Kita tidak terima aduan itu secara melulu, sebaliknya saya sendiri yang memeriksa. Saya sudah periksa premis makanan dan mereka masih mempamerka­n logo halal.

“Carian yang dibuat di Portal Halal Malaysia juga mendapati status pensijilan halal mereka sudah ditarik balik. Maka, jelas bahawa pemilik restoran sengaja mempamerka­n logo halal untuk mengaut keuntungan dan mengeliruk­an masyarakat,” katanya.

Zamri berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas memandangk­an tindakan peniaga itu seolah-olah sengaja mengeliruk­an masyarakat.

Katanya, PEMA sudah menerima aduan itu sejak beberapa minggu lalu dan masih menunggu tindakan daripada pemilik restoran berkenaan untuk menurunkan logo halal yang dikeluarka­n oleh JAKIM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia