OBOR HIDUP INSAN
Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan umat Islam
Setiap ayat al-Quran tidak mampu ditandingi sesiapa pun. Ia kalam
Tuhan hinggakan Allah
SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-Isra, ayat 88)
Ada dalam kalangan kita meletakkan azam 2018 untuk lebih akrab dengan al-Quran. Sama-samalah kita adakan masa untuk menghafalnya, pasti nikmat membaca al-Quran akan lebih terasa.
Sebelum itu, pastikan juga kita perbaiki dahulu bacaan, baru mula menghafal. Ketika anak kita masih kecil, bagaimana kita mula mengajar mereka menghafal?
Biasanya mereka akan mengikut bacaan ibu bapa. Selain itu, mereka mungkin mendengar bacaan melalui radio dan atau menonton YouTube.
Apabila anak mula mengenal huruf, beri keutamaan memperbetulkan bacaan sebelum menghafal. Kenalkan dengan ilmu tajwid kerana ia sangat mudah didapati daripada pelbagai sumber.
Lebih bagus lagi, jika dapat membaca al-Quran yang disemak. Jika menghafal dengan bacaan yang salah, sukar nanti untuk mengubah tabiat itu.
Teruskan menghafal al-Quran dan tidak lupa memberi keutamaan memperbaiki tajwid dan bacaan. Mulakan dengan cara yang mudah terlebih dahulu misalnya mendengar bacaan Syeikh al-Minsyawi atau al-Hashri sebelum mula menghafal halaman tertentu bagi yang belum belajar ilmu tajwid.
Lebih baik menggunakan mashaf daripada satu jenis penerbitan. Eloknya, kita tidak bertukar-tukar jenis penerbitan mashaf. Otak manusia lebih menyukai perencanaan yang terperinci.
Jadi, tetap dengan satu jenis mashaf supaya lebih mudah merancang langkah untuk menghafal. Contoh mashaf yang baik seperti diterbitkan Raja Fahd atau Mashaf Utsmani.
Setiap halaman mashaf itu terdiri daripada 15 baris, setiap juz terdiri daripada 20 halaman serta terdapat pelbagai warna pada kertas mashaf yang membolehkan ia semakin mudah dihafal.
Warna kertas pada mashaf juga berpengaruh dalam menghafal. Sama juga dalam pembelajaran, buku yang berwarna-warni lebih baik kerana otak kita lebih mudah merakamnya.
Hindari warna putih dan lebih baik memilih mashaf yang kertasnya berwarna kuning atau hijau. Saat menghafal, otak kurang suka pada tulisan hitam di atas kertas putih.
Banyak kajian menunjukkan tahap kemampuan untuk menangkap, memahami dan menghadirkan kembali informasi semakin bertambah dengan menggunakan latar berwarna-warni.
Begitu juga banyak kajian menunjukkan untuk mengatasi kesulitan dalam pembelajaran boleh menggunakan latar kertas berwarna-warni.
Menurut Dr Majdi Obaid, ada lima jenis mushaf berwarna yang baik antaranya:
Mashaf yang lafaz Allah ditulis dengan warna merah.
Mashaf dengan imu tajwid yang biasanya terdiri daripada enam warna.
Mashaf yang sering disebut sebagai Mashaf Tematik di mana ayat yang mempunyai tema yang sama, maka warnanya juga sama.
Mashaf hafalan. Awal kata ditulis dengan warna merah. Ini mashaf yang sangat bagus bagi membantu orang yang menghafal mengetahui ayat dengan mudah.
Mashaf yang wangi dan berwarna. Ketika dibaca, haruman dapat dicium. Mashaf ini juga bagus kerana boleh merangsang pancaindera bau ketika menghafal yang sangat bermanfaat untuk mengoptimumkan pancaindera.
Ukuran mashaf yang paling baik adalah dalam saiz yang mudah dibawa. Paling ideal jika ia muat dalam saku baju lelaki dan beg tangan wanita.
Letakkannya di tempat strategik yang sering kita singgah dalam sehari seperti ruang tamu, bilik tidur, kereta dan tempat kerja. Biar kita dapat membaca al-Quran pada bila-bila masa saja dan di mana jua.
Satu kajian mengenai pengurusan waktu menunjukkan pada dasarnya manusia menggunakan 30 peratus hingga 60 peratus dari masa hidupnya melakukan aktiviti harian manakala menggunakan sekitar 83 peratus masa hidupnya untuk melakukan aktiviti sampingan.
Penulis pendakwah dan penulis buku