Tindakan tegas jika kontraktor ‘alibaba’ projek diberi
Kuching: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) tidak akan berkompromi dengan kontraktor yang ‘mengalibabakan’ pemberian projek majlis itu kepada mana-mana subkontraktor, bermula tahun depan.
Timbalan Pengerusi MPP, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, ia bagi memastikan pelaksanaan setiap projek lebih telus dijalankan kontraktor yang dipertanggungjawabkan melaksanakan sesuatu projek MPP.
Menurutnya, pihaknya akan menetapkan peraturan baru supaya kontraktor yang dilantik sama sekali tidak dibenarkan memberikannya kepada sub-kontraktor.
“Semua kontraktor yang mendapat projek perlu menandatangani akuan berkanun sama ada membabitkan kerja awam atau saliran, pemotongan rumput, jalan, jambatan dan landskap.
“Jika ada kontraktor yang dikesan melakukan perkara itu (mengalibabakan projek kepada sub-kontraktor), tindakan tegas akan diambil,” katanya pada sidang media sempena mesyuarat bulanan MPP, semalam.
Ahmad berkata, MPP komited menghentikan budaya kerja ‘mengalibabakan’ projek ini kerana ia bukan hanya akan merugikan MPP, malah kesannya terhadap masyarakat untuk mendapatkan pembangunan yang lebih baik.
“MPP akan melakukan pengawasan yang lebih ketat terhadap setiap pelaksanaan projek bagi memastikan peraturan itu dipatuhi semua kontraktor.
“Kami (MPP) cuba memperbaiki budaya kerja MPP setiap tahun kerana banyak aduan yang dibangkitkan sesetengah pihak berhubung pelaksanaan projek kami menyebabkan banyak yang tertangguh,” katanya.