Harian Metro

SAMBUTAN NATAL BERTUKAR DARAH

- Ekhwan Haque Fazlul Haque ekhwan@hmetro.com.my

Serian

Perayaan Krismas tahun ini membawa episod duka kepada sebuah keluarga apabila tiga daripada mereka maut, manakala empat lagi parah selepas van dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 16 Jalan Serian-Tebedu berhampira­n Bukit Binong di Serian, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi, pemandu van Henry Gek, 51, dan penumpang iaitu Susin Tatak, 49, dan anaknya Olovia Natasa Dismas, 20, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah termasuk hancur kaki.

Manakala, empat lagi penumpang van iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki berusia antara 12 dan 44 tahun dan lelaki yang juga pemandu Nissan Frontier berusia 28 tahun parah.

Mereka yang menetap di Miri pulang ke kampung mereka di Kampung Temong Bengan di sini, kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian bagi meraikan Krismas, Isnin ini.

Difahamkan, keluarga berkenaan dalam perjalanan ke bandar raya ini untuk membeli belah dan bersiar-siar.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superinten­dan Aswandy Anis berkata, siasatan awal mendapati Nissan Frontier yang dipandu seorang lelaki dikatakan dalam perjalanan dari Sri Aman menuju ke Sejijak Pelaman untuk pulang bercuti.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pacuan empat roda berkenaan dikatakan memotong sebuah kenderaan lain di laluan berbukit sebelum van dinaiki mangsa berada di laluan bertentang­an.

“Kedua-dua pemandu tidak sempat mengelak sebelum bertembung menyebabka­n kedua-dua kenderaan itu melekat dan pemandu serta penumpang bahagian depan tersepit.

“Pemandu van dan dua penumpangn­ya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi penumpang van dan pemandu pacuan empat roda parah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, semua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumia­n, manakala mangsa yang cedera dirujuk ke Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Tiga sekeluarga maut, empat parah pacuan empat roda bertembung

van

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia