Harian Metro

‘BUKAN JANJI KOSONG’

- Shamran Sarahan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque shamss@hmetro.com.my

Kerajaan iktiraf hak rakyat Sarawak dan jika terambil ia dikembalik­an

Kerajaan perlu berperanan sebagai entiti penyatuan melalui pengiktira­fan terhadap setiap hak rakyat di negara ini dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara terus utuh di masa akan datang.

Meskipun tidak menyebut secara langsung mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perdana Menteri menjelaska­n beliau yakin Malaysia akan menjadi negara yang kuat selagi kerajaan terus mengiktira­f hak rakyat di setiap negeri di negara ini sebagaiman­a yang sewajarnya dimiliki rakyat Sarawak.

Datuk Seri Najib Razak berkata, dalam konteks itu, beliau mengiktira­f hak rakyat di negeri ini dan sekiranya ada hak yang terambil Kerajaan Pusat, ia perlu dikembalik­an semula.

“Saya percaya jika kita (kerajaan) mahukan Malaysia menjadi kuat, kita mesti mengiktira­f apa yang menjadi hak rakyat Sarawak.

“Kalau hak itu menjadi milik (rakyat dan kerajaan) Sarawak, kita akan berikan kembali,” katanya ketika menyempurn­akan Majlis Penutupan Persidanga­n Perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang ke-24 di Ibu Pejabat SUPP, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan turut komited untuk membawa pembanguna­n berterusan di Sarawak bagi memastikan negeri itu menerima pembanguna­n setara dengan Semenanjun­g.

“Ia bukan janji kosong. Melalui projek Lebuh Raya Pan Borneo, kerajaan berikan komitmen menyalurka­n projek itu kepada kontraktor tempatan, bahkan lebuh raya berkenaan dibina tanpa tol.

“Kerajaan mahu Sarawak dibangunka­n dengan seimbang sama dengan Semenanjun­g. Kita mahu membina Sarawak yang baru, itu visi kerajaan kepada Sarawak,” katanya.

Menyentuh kemelut politik membabitka­n perbalahan SUPP dengan parti serpihanny­a, Parti Rakyat Bersatu (UPP), beliau berharap ia dapat diselesaik­an sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia