Harian Metro

‘PSC klia2 naik bukan untuk selamat MAHB’

-

Putrajaya: Kenaikan caj perkhidmat­an penumpang (PSC) ke atas pelepasan antarabang­sa di terminal Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (klia2) kepada RM73 bukan untuk menyelamat­kan kedudukan kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), kata Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali.

Sambil menafikan dakwaan Anggota Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua bahawa kenaikan PSC untuk menyelamat­kan MAHB daripada kerugian dalam operasinya di klia2, beliau berkata, syarikat pengendali lapangan terbang itu mencatatka­n keuntungan bersih selepas cukai tujuh kali ganda lebih tinggi pada suku ketiga lalu berbanding tempoh sama sebelumnya.

Keuntungan bersih MAHB bagi suku ketiga berakhir pada 30 Sept, 2017 melonjak lebih tujuh kali ganda kepada RM79.69 juta daripada RM10.68 juta setahun yang lalu berikutan pertumbuha­n pendapatan yang kukuh didorong peningkata­n pergerakan penumpang yang tinggi dan perolehan komersial yang memberangs­angkan.

Katanya, pada masa ini, statistik penumpang pelepasan antarabang­sa di klia2 menunjukka­n 75 peratus daripadany­a adalah penumpang luar negara berbanding hanya 25 peratus rakyat Malaysia yang ke luar negara.

“Ternyata, fasiliti di terminal kedua itu memberi kemudahan kepada semua penumpang yang sebahagian besarnya rakyat asing.

“Sudah tiba masanya PSC di klia2 dinaikkan memandangk­an cukai lapangan terbang di luar negara secara umumnya lebih tinggi berbanding di Malaysia. Daripada kutipan PSC inilah akan kita gunakan untuk menaik taraf kemudahan di lapangan terbang kendalian MAHB,” katanya.

Katanya, kenaikan PSC daripada RM50 kepada RM73 di klia2 menyamai dengan PSC di lapangan terbang yang memberi perkhidmat­an pelepasan antarabang­sa seperti di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi dan Senai.

Suruhanjay­a Penerbanga­n Malaysia (MAVCOM) telah mengumumka­n berkuat kuasa pada 1 Januari 2018, PSC antarabang­sa di klia2 akan dinaikkan kepada RM73, bersamaan dengan kadar untuk pelepasan antarabang­sa di semua lapangan terbang lain di Malaysia yang telah dinaikkan pada Januari 2017.

Malah, PSC bagi pelepasan ASEAN telah diselarask­an kepada tahap yang lebih rendah, iaitu RM35 yang telah memberi manfaat kepada sebilangan besar rakyat Malaysia.

Badlisham berkata, langkah menyamakan PSC itu juga selaras dengan garis panduan Pertubuhan Penerbanga­n Awam Antarabang­sa (ICAO). - BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia