Harian Metro

AIR MATA GUGUR BERTAWAF 11 MAUT DALAM 5 NAHAS

Ibu saudara terkejut tiga beradik maut serentak selepas hantar ibu bapa tunai umrah

- Mohamad Azim Fitri Abd Aziz azimfitri@hmetro.com.my

Kuantan

Pelukan erat Wan Muhammad Mahathir Rafiqi Wan Kamaruzzam­an terhadap ibunya Khamis lalu di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi petanda perpisahan mereka buat selamanya selepas dia terkorban dalam kemalangan jalan raya, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi, Wan Muhammad Mahathir Rafiqi, 14, dan dua kakaknya Wan Nor Athirah, 27, serta Wan Nur Afifah, 25, maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Chery Eastar dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di Jalan Kuantan-Pekan, dekat Kampung Batu Putih, di sini.

MPV yang turut dinaiki ibu saudara mereka Salmah Ibrahim, 58, dan sepupu Nurul Aliani Zawawi, 25, itu dipercayai cuba mengelak kenderaan lain di hadapan sebelum melanggar batu penghadang parit dan terjunam.

Difahamkan Salmah dan anaknya Nurul Aliani mengalami kecederaan dan kini dirawat di unit kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Menurut ibu saudara mangsa yang ingin dikenali sebagai Mama, 49, dia tidak sanggup melihat gambar tiga beradik itu ketika menghantar ibu bapa dan seorang saudara perempuan mereka ke KLIA bagi menunaikan umrah.

“Sebak tengok gambar Wan Mahathir peluk ibunya. Tak sangka ia menjadi perpisahan selamanya buat mereka tiga beradik,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik dan Patologi, HTAA di sini, semalam.

Mama berkata, dia dimaklumka­n mengenai kejadian itu kira-kira 7 pagi selepas menerima panggilan telefon Nurul Aliyani menyatakan mereka terbabit dalam kemalangan.

“Seperti hendak gugur jantung apabila diberitahu kenderaan mereka terjunam ke dalam parit.

“Mereka minta saya bergegas ke lokasi kemalangan kerana sudah beberapa jam terperangk­ap dalam kawasan parit itu,” katanya.

Katanya, dia segera meminta menantu lelakinya bergegas ke Kuantan mencari mereka sebelum dimaklumka­n semua mangsa sudah dibawa ke HTAA.

Menurutnya, dia dimaklumka­n tiga anak saudaranya singgah ke rumah sepupu mereka di Melaka sebelum menyambung perjalanan pulang ke Kampung Padang Lalang, Binjai Kemaman.

“Saya tak tahu bagaimana nak maklumkan kepada keluarga mereka yang kini mengerjaka­n umrah.

Mereka macam anak saya juga kerana kami tinggal di kampung berdekatan di Binjai, Kemaman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Pahang Superinten­dan Mohd Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu Wan Nur Athirah dari arah Pekan ke Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar batu penghadang parit.

“Polis tidak menolak kemungkina­n kenderaan itu gagal dikawal disebabkan permukaan jalan licin. Ketika kejadian cuaca hujan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ??  ??
 ??  ?? KEADAAN MPV yang remuk di bahagian depan selepas merempuh batu penghadang parit sebelum terjunam.
KEADAAN MPV yang remuk di bahagian depan selepas merempuh batu penghadang parit sebelum terjunam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia