Harian Metro

Cabul OKU dalam lif

- Nor Azura Abdul Jalil zura_jalil@hmetro.com.my

 Bapa 4 anak didenda RM7,000 selepas mengaku raba gadis cacat penglihata­n

Padah mencabul seorang pelajar wanita orang kurang upaya (OKU) penglihata­n bulan lalu, seorang bapa empat anak didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhka­n hukuman itu terhadap Mohamad Azhar Abd Wahab, 50, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya.

Tertuduh yang juga OKU penglihata­n berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memeluk dan memegang buah dada mangsa berusia 20 tahun dengan maksud hendak mencabul kehormatan­nya.

Kelindan lori ais itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam lif di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Jalan Tebing Off Jalan Tun Sambathan di sini antara jam 1 tengah hari dan 1.30 tengah hari, 8 November lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira mangsa OKU penglihata­n rabun teruk dan penglihata­nnya samar-samar, selain pelajar di MAB.

“Mangsa mengenali tertuduh kerana dia kerap datang ke kompleks berkenaan, jadi saya memohon hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang,” katanya.

Mohamad Azhar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan dia perlu menanggung isteri dan empat anak selain insaf kesilapann­ya.

Berdasarka­n fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh memeluk dan memegang buah dada mangsa di sebelah kanan ketika di dalam lif untuk naik ke tingkat tiga.

Mangsa ketakutan lalu menekan lif di tingkat dua dan terus keluar sambil berkata mahu ke bilik air sebelum memaklumka­n perkara itu kepada gurunya.

Tertuduh mencabul dua pelatih lain di premis berkenaan.

Mangsa kedua mengatakan pada 20 November lalu, dia dicabul tertuduh sama dengan menarik tangannya untuk masuk ke dalam lif namun tidak berjaya selepas ditegur pelatih lain.

Pada tarikh sama, mangsa ketiga mengatakan dicabul tertuduh dengan cara menyentuh kemaluan mangsa ketika berjalan menuju ke lif selepas makan di kantin. Pada 22 November lalu, tertuduh ditangkap hasil laporan polis dan semakan mendapati dia mempunyai rekod lampau kes cabul.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia