CIK MISI PULA JADI PESAKIT TERLAJAK REMPUH SUV
Pemandu turut parah ambulans jatuh tebing lepas hantar pesakit
Kumpulan basikal lajak cabut lari bimbang dimarahi pemilik kenderaan
Melaka
Selepas langgar terus cabut lari. Itulah gelagat sekumpulan kanak-kanak dipercayai menyertai lumba basikal lajak, selepas seorang daripada mereka melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sportage di dalam petak parkir di tepi jalan.
Gelagat mereka dapat dilihat menerusi rakaman video yang dipercayai diperoleh daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 37 saat dan kemudian tular di Facebook dan media sosial lain termasuk YouTube sejak empat hari lalu di Bukit Baru, di sini.
Rakaman dikatakan dikongsi seorang netizen itu menunjukkan gelagat lima kanak-kanak menunggang basikal lajak di kawasan berselekoh, malah seorang daripada mereka dilihat membuat aksi ‘superman’.
Namun, seorang daripada mereka yang juga pelumba berada di belakang, gagal mengawal basikal ditunggangnya menyebabkan dia terlajak lalu melanggar SUV terbabit.
Basikal ditunggang kanak-kanak itu melanggar pintu bahagian penumpang depan dan kepalanya turut terkena cermin sisi SUV terbabit, dia kemudian terjatuh hingga menyebabkan kepalanya terhentak pada laluan pejalan kaki.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu dilihat bangun semula, namun dia yang kelihatan kebingungan duduk seketika di atas laluan pejalan kaki sebelum rakan lain yang dipercayai menyaksi dan menyertai perlumbaan menghampirinya untuk membantu.
Seorang daripada rakannya dilihat mengangkat basikal lajak milik kanak-kanak itu sebelum mereka semua beredar dipercayai bimbang dimarahi pemilik SUV terbabit yang ketika itu belum muncul.
Hasil tinjauan dilakukan Harian Metro mendapati, penduduk tempatan yang ditemui mengesahkan wujudnya aktiviti basikal lajak di kawasan itu membabitkan kumpulan remaja dan kanak-kanak, namun ia semakin berkurangan.
Pembantu di sebuah kafe di Pusat Niaga Bukit Baru, yang hanya mahu dikenali sebagai Hardy, 28, ketika ditemui mengakui lokasi itu sebelum ini kerap menjadi tumpuan kumpulan basikal lajak.
“Kumpulan ini biasanya aktif sebelah petang terutama pada hujung minggu kerana kawasan ini lengang, tak banyak kereta. Ahli kumpulan ini tidak ramai sekitar 10 orang saja tapi yang kurang enak ada dalam kalangan mereka menunggang sambil melakukan aksi berbahaya.
“Difahamkan kumpulan itu hanya singgah di sini, namun tindakan mereka berkumpul berhampiran persimpangan berhampiran boleh menyebabkan berlaku kemalangan kerana lokasi itu agak terlindung dan pemandu sukar melihat apa yang berada di depan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pihaknya sedar dengan kewujudan aktiviti basikal lajak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negeri ini.
“Hasil pemantauan kami, kumpulan ini aktif pada waktu malam, namun membabitkan kumpulan kecil saja. Tak kira berlumba atau tidak kehadiran kumpulan ini terutama di jalan-jalan utama membahayakan keselamatan mereka sendiri dan pengguna lain.
“Basikal ditunggang itu tidak ada lampu amaran, loceng dan sebagainya, jadi saya amat berharap ibu bapa pantau pergerakan anak masing-masing. Mereka sepatutnya tidak membenarkan remaja atau kanak-kanak ini berada di luar rumah selepas waktu tengah malam,” katanya.
Pada 20 Disember lalu sekumpulan 17 penunggang basikal lajak berusia 12 hingga 17 tahun ditahan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah ketika cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak polis sedang melakukan rondaan.