Rindu sotong telur masin
Remaja tabah jaga 2 adik selepas kematian keluarga akibat dibunuh
“Biarpun sudah sebulan berlalu, saya masih tidak dapat lupakan kejadian menimpa emak, ayah dan adik,” kata Kha Xing Fae, 19.
Dalam kejadian jam 2.30 petang, November lalu, bapanya , Kha Eng Ni, 42, bersama ibu, Chua Joo Seok, 37, dan adik lelakinya, Kha Zee Hanz, 13, maut selepas ditikam dan dihentak dengan tukul oleh lelaki yang juga pekerja keluarga itu.
Bagaimanapun, dua lagi adiknya, Kha Xing Rhuu, 15, dan Xing Shyan, 8, yang turut berada di lokasi kejadian terselamat.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, setiap kali bersendirian, dia pasti akan terbayang kenangan manis sepanjang mereka bersama.
“Antara perkara yang tidak boleh dilupakan adalah kenangan makan malam bersama keluarga dan setiap minggu, emak akan masak makanan kegemaran iaitu sotong telur masin.
“Bagaimanapun, kini semuanya berubah namun saya reda dan perlu kuat demi dua adik yang masih bersekolah dan kami beruntung kerana sentiasa mendapat sokongan ahli keluarga lain termasuk yang tinggal berhampiran rumah,” katanya di sini, semalam.
Terdahulu, Xing Fae bersama adiknya Xing Rhuu ditemani ibu saudara, Kha Leng Siow, 33, bertemu dengan Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelvin Yeap dan Presiden Kelab Lions Kota Bharu, Steven Lee Chun Wah.
Menurutnya, dia merancang untuk mencari pekerjaan sesuai bagi menampung perbelanjaan keluarga sebelum menerima tawaran melanjutkan pengajian.
“Selepas tragedi itu, hanya saya dan Xing Rhuu menetap di rumah kami di Kampung Balai, Bachok, manakala Xing Shyan tinggal bersama ibu saudara (Chua Tee Mek, 55) di Gua Musang,” katanya.
Sementara itu, Yeap berkata, MCPF dan Kelab Lions Kota Bharu menubuhkan tabung bagi memberi dana kepada tiga beradik itu untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.