Bina 3 pasar raya RM600j
Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) berhasrat membina tiga lagi pasar raya besar pada tahun depan dengan peruntukan nilai pembangunan kasar (GDV) RM600 juta.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, inisiatif untuk membina tiga pasar raya besar itu dilihat sebagai peluang terbaik buat syarikat memperkukuh operasi meskipun industri peruncitan bagi segmen terbabit dikatakan perlahan.
Beliau berkata, sebelum ini syarikat membina empat hingga lima pasar raya dalam setahun namun dengan keadaan pasaran ketika ini, pihaknya hanya membina dua atau paling banyak tiga pasar raya setahun.
“Jadi, buat masa ini, tumpuan kami hanya untuk membuka pasar raya besar saja dan setakat ini Mydin mempunyai 25 pasar raya besar di seluruh negara.
“Malah, melalui pembukaan pasar raya besar yang baru turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta secara tidak langsung membantu perkembangan ekonomi negara dengan lebih baik,” katanya.
Mydin yang mula beroperasi pada 1957 kini mempunyai 145 cawangan di seluruh negara dengan sembilan bentuk dan saiz perniagaan berbeza. Antaranya 25 pasar raya besar, 24 pusat beli-belah, sembilan pasar raya, 17 emporium, tiga bazar, 40 MyMydin, lima Mydin Mart, 12 MyMart, lima pasar raya
premium dan lima gudang.
Ameer Ali berkata, daripada tiga pasar raya besar baru itu, dua daripadanya di Johor dan Kuching, Sarawak yang mempunyai GDV masing-masing RM250 juta dan pasar raya besar bersaiz sederhana di Jengka, Pahang pula dibangunkan dengan GDV bernilai RM100 juta.
“Semua pasar raya dibina di tanah milik Mydin di seluruh negara dan ia sebahagian daripada perancangan strategik syarikat untuk tempoh lima tahun akan datang dalam segmen peruncitan ini,” katanya.
Mydin perkukuh operasi melalui cawangan baru