Santhit optimis TRW mampu hadapi cabaran
Kota Bharu: Pengendali Kelantan, Santhit Bensoh, menyuarakan keyakinan betapa pasukannya mampu memberi saingan pertandingan tiga penjuru menentang kelab terkemuka Asia Tenggara, di Stadium Nasional Bukit Jalil, pertengahan bulan depan.
Mengakui pasukan yang bakal dihadapi bukan calang-calang, pengendali kelahiran Thailand itu berkata sudah mempunyai ramuan sendiri selain mengenalpasti kelemahan skuadnya selepas rombakan secara besar-besaran sebelum ini.
Selain itu katanya, skuad The Red Warriors (TRW) juga hampir selesai melengkapkan senarai nama pemain bagi musim depan selepas kemasukan pemain baharu tempatan serta pemain import.
“Apa yang perlu selepas ini kita fokus kepada pertandingan di Kuala Lumpur kerana ia satu peluang terbaik untuk merasai pengalaman berdepan cabaran yang kuat.
“Saya sendiri sudah meneliti kelemahan pasukan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini dan Insya-Allah, saya yakin semua itu dapat diatasi sebelum pertandingan itu nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan di antara Kelantan dan Terengganu FC II di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam kelmarin.
Perlawanan persahabatan kedua TRW selepas hampir melengkapkan senarai pemain musim depan itu berkesudahan seri tanpa
jaringan.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Santhit berkata banyak peluang yang dicipta pasukan dalam perlawanan itu namun gagal ditafsirkan dengan jaringan.
“Meskipun berkeputusan seri saya berpuas hati dengan persembahan ke semua pemain. Saya anggap perlawanan ini bagi mencari keserasian pemain kerana barisan yang diturunkan malam ini (malam tadi) adalah di kalangan pemain baharu serta pemain muda.
Dalam perkembangan sama, Santhit memberitahu pasukan itu akan kembali memulakan sesi latihan pada 3 Januari ini selepas cuti tahun baharu.
“Esok (hari ini) pasukan masih ada latihan terakhir seterusnya ada beberapa aktiviti bersama pasukan di kediaman Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan.
“Selepas itu pasukan akan bercuti dan akan kembali memulakan latihan pada 3 Januari depan bagi persiapan pertandingan di Kuala Lumpur,” katanya.