KAMPUNG BARU BERASAP
15 rumah musnah dalam kebakaran
Mangsa kebakaran yang memusnahkan 15 rumah di Lorong Raja Muda Musa Enam, Kampung Baru di sini, semalam akan tinggal sementara waktu di dewan berhampiran.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penempatan mangsa di dewan terbabit adalah langkah sementara sebelum Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan rumah sementara bagi semua mangsa kebakaran itu.
“Kami mohon kepada DBKL untuk memberikan rumah sementara kepada mangsa sehingga rumah mereka dibaiki sepenuhnya,” katanya ketika melawat lokasi kejadian, semalam.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan cepat.
“Saya puji kepantasan anggota bomba yang cepat memadamkan kebakaran kerana jika tidak, pasti lebih banyak rumah yang terbakar.
“Orang ramai dinasihati supaya tidak membuat penyambungan elektrik sendiri tanpa tauliah kerana boleh mengakibatkan litar pintas kerana berdasarkan maklumat awal, kebakaran dipercayai akibat litar pintas, namun bomba masih menyiasat punca sebenar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 9.39 pagi.
“Seramai 47 anggota bomba dan enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak, BBP Hang Tuah, BBP Keramat, BBP Bandar Tun Razak dan BBP Wangsa Maju dikerah ke lokasi.
“Sebaik tiba, kami dapati api sedang marak dan kami berdepan kesukaran untuk memadamkan kebakaran akibat tekanan air rendah,” katanya.
Khiruddin berkata, pihaknya dapat mengawal sepenuhnya kebakaran jam 11.14 pagi.
“Kebakaran membabitkan 15 rumah yang musnah 100 peratus. Bagaimanapun, tiada mangsa yang cedera,” katanya.
“Kami mohon kepada DBKL untuk memberikan rumah sementara kepada mangsa sehingga rumah mereka dibaiki sepenuhnya
Johari