DUGAAN DUA MINGGU
Kota Bharu
Baru dua minggu belajar di Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir di sini, seorang remaja sudah diuji dengan kebakaran yang menyebabkan pondoknya hangus.
Dalam kejadian jam 7.45 malam kelmarin, pondok Muhammad Syawal Zainuddin, 15, terbakar bersama 13 unit lain, malah barang keperluan mereka turut gagal diselamatkan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Muhammad Syawal yang berasal dari Besut, Terengganu berkata, dia mendaftar masuk ke madrasah itu pada awal bulan ini selepas menamatkan pengajian di sekolah pondok lain di negeri kelahirannya.
“Saya masih lagi dalam proses menyesuaikan diri di madrasah ini kerana baru dua minggu daftar masuk. Memang tidak sangka kejadian ini boleh berlaku dan kini saya tinggal sehelai sepinggang.
“Beberapa barang musnah termasuklah pakaian saya, kitab baru dibeli dan wang tunai
RM20 disimpan dalam pondok.
“Saya anggap ini ujian Allah
SWT dan saya reda,” katanya ketika ditemui sejurus kejadian.
Bagi pelajar, Muhd Hafizul Hazmi Mohd Nasaruddin, 25, yang berasal dari Pengkalan Chepa, dia cuba menyelamatkan barang miliknya namun gagal disebabkan api marak dengan cepat.
“Saya berada di tingkat satu masjid, berlari turun untuk masuk ke dalam pondok dan menyelamatkan barang penting. Malangnya, kedudukan pondok yang rapat sebabkan api marak cepat.
“Apapun saya bersyukur, tiada antara kami cedera kerana semua berada di masjid untuk membaca Yasin,” katanya yang sudah dua tahun menghuni pondok terbabit.
Sementara itu, Muhammad Abdul Azim Jamali, 18, berkata, tanpa memikirkan apa-apa dia terus masuk ke dalam pondok untuk menyelamatkan al-Quran dan kitab pengajian walaupun pada masa itu api marak di pondok pertama.
“Saya berjaya membawa keluar dokumen pengenalan diri dan kitab yang amat penting memandangkan sudah lima tahun saya mendalami ilmu agama di sini.
“Alhamdulillah kami semua selamat dan hanya pakaian serta peralatan dapur yang musnah,” katanya yang berasal dari Bentong, Pahang.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, akibat kebakaran itu dia mengalami kerugian RM1,000.
Pelajar baru mula sesuaikan diri kini tinggal sehelai sepinggang