KAKI SANGKUT RANTAI MOTOR
Budak tujuh tahun tahan sakit sejam
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun menanggung kesakitan sejam apabila kaki kirinya tersangkut pada rantai motosikal ditunggang bapanya di Jalan Kelapa Bali Taman Soga di sini, kelmarin
Difahamkan kejadian jam 5.50 petang itu berlaku ketika kanak-kanak dikenali sebagai Ahmad Khalifi Mohd Khairy membonceng motosikal bapanya ketika bersiar-siar.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu secara tidak sengaja menjulurkan kaki menyebabkan terkena rantai motosikal sebelum tersepit.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 5.53 petang.
Katanya, lima anggota diketuai seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat bergegas ke lokasi untuk membantu mengeluarkan kaki mangsa.
“Ketika tiba di lokasi beberapa minit kemudian, anggota mendapati kanak-kanak berkenaan sedang ditenangkan bapanya yang berusia 30-an dengan bantuan orang ramai supaya tidak menangis serta panik.
“Dengan menggunakan alat pemotong khas, kami mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit pada jam 6.40 petang dan mangsa dihantar bapanya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, usaha menemu bual bapa mangsa gagal kerana enggan mengulas insiden berkenaan sambil menyatakan anaknya baru saja dimasukkan ke bilik pembedahan HSNI, jam 3 petang, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun setakat petang semalam belum menerima laporan daripada bapa mangsa.