Laksana ‘hukuman’ tembak beruang
Naypitaw: Seorang lelaki mencetuskan kemarahan netizen apabila dirakam menembak mati beruang hitam daripada spesies terancam di dalam sangkarnya semata-mata kerana perasaan ingin tahu ketika melancong ke Myanmar.
Lelaki itu mendakwa menembak mati beruang berkenaan selepas mendapat izin kerajaan tempatan Wa, Myanmar, yang bersempadan China, lapor Beijing News.
Lelaki itu yang identitinya tidak didedahkan turut mendakwa senjata digunakannya disediakan kerajaan tempatan.
Video berkenaan, dipercayai dirakam pelancong lain dalam kumpulannya, menjadi tular di media sosial China pada 27 Disember lalu dan mencetuskan kemarahan serta kontroversi.
Dalam video itu, lelaki didengar menjerit dalam dialek Cina kepada beruang itu: “Saya dah kata, jangan buka mulut. Buatlah lagi, siap kamu!”
Dia kemudian melepaskan satu das tembakan menyebabkan beruang itu rebah. Seorang lelaki kemudian dilihat memotong bulu dari seekor beruang - tidak pasti sama ada haiwan sama - dalam video itu.
Kejadian pada mulanya disangka berlaku di Yunnan, China, tetapi siasatan polis mendapati ia berlaku di Myanmar, lapor Beijing News.
Sementara itu, seorang lelaki dari Shandong, timur China, mengaku dia orang yang bertanggungjawab dalam video dirakam di luar balai polis, kononnya selepas menyelesaikan isu berkenaan dengan pihak berkuasa.
Dia mendakwa beruang itu mahu dibunuh pihak berkuasa Wa kerana mencederakan orang awam.
“Saya ingin tahu rasanya jadi saya meminta izin melaksanakan ‘hukuman’ itu. Saya mendapat izin pihak berkuasa.
“Namun kini saya dikecam orang ramai dan mahu menjelaskan keadaan. Video itu bukannya untuk dikongsikan saya tidak tahu siapa yang menyebarkannya.
“Sebenarnya haiwan mesti dilindungi,” katanya. - Daily Mail