RIDZWAN TERUS MENYEPI
Nampaknya isu tuduhan rasuah ke atas jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff serta enam pemain pasukan itu yang dicetuskan oleh pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan belum selesai.
Setakat ini, belum ada perkembangan positif apabila Ridzwan masih mengambil pendekatan mendiamkan diri walaupun sebelum ini pernah menyatakan akan tampil bersemuka serta memohon maaf kepada jurulatih dan enam pemain berkenaan.
Rabu lalu, ketika dihubungi, Nidzam memberitahu Spy Bola, kelibat Ridzwan belum kelihatan walaupun dia sudah lama diberi peluang untuk berbuat begitu.
Berdasarkan perbualan dengan Nidzam,
Spy Bola rasa kes ini bakal berlanjutan ke mahkamah jika pemilik akaun Facebook itu terus mengambil sikap mendiamkan diri.
Usaha Spy Bola untuk mendapatkan maklum balas Ridzwan melalui mesej WhatsApp juga tidak mendapat jawapan walaupun sebelum ini kami pernah berinteraksi.
Khairul Helmi Johari atau Keon pernah memberitahu Spy Bola, selagi individu berkenaan tidak tampil memohon maaf kepadanya, dia tidak akan menutup kes itu begitu sahaja.
Walaupun sebelum ini Ridzwan sudah membuat permohonan maaf sebanyak dua kali melalui video dan Facebook namun Nidzam, Keon serta pemain lain tidak menerimanya kerana menganggap ia tidak ikhlas.
Dengar cerita mereka hanya menunggu Ifwat Akmal Chek Kassim pulang daripada tugasan bersama skuad bawah 23 tahun negara pada pertandingan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23, untuk meneruskan tindakan undang-undang.
Spy Bola: Berhati-hati menulis.