Ubah stigma
Festival Kampung Kota rapatkan anak muda Bandung,
masyarakat
Jika kebiasaannya pengamal muzik indie akan dipandang serong apa lagi genre yang dibawa agak ‘keras’, namun kumpulan anak muda di Bandung, Indonesia ingin mengubah stigma ini.
Penganjuran Festival Kampung
Kota yang sudah masuk tahun keenam memperlihatkan jurang antara anak muda dan masyarakat boleh dirapatkan dengan sikap terbuka kedua-dua pihak.
Bertempat di Dago Elos, Bandung, kampung kecil yang padat dengan ratusan keluarga ini meriah apabila didatangi pengunjung dan komuniti anak muda sepanjang festival berlangsung.
SEBULAN PENUH PENGISIAN
Bermula 8 hingga 24 Disember lalu, festival ini disusun pengisian yang bukan saja untuk anak muda, tetapi memanfaatkan masyarakat sekeliling khususnya orang kampung.
Antara agenda dianjurkan sepanjang bulan termasuk pameran foto, gerai buku terpakai, majalah dan cakera padat yang secara tidak langsung menghidupkan senario muzik indie Indonesia.
Tontonan filem dan dokumentari berkaitan tema festival turut diselitkan, malah ia terbuka kepada ibu bapa dan kanak-kanak di situ yang ingin menonton.
Beberapa topik perbincangan serius membabitkan panel terkenal seperti Bambang Tidi, Rio Apinino dan Budi
Yoga Soebandi menjadi antara tarikan utama acara. Topik ‘Membangun Media Alternatif bagi Pembangunan Sosial’ antara yang hangat dibincangkan lagi dengan pembangunan media sosial yang pesat ketika ini.
20 BAND PELBAGAI GENRE
Tiga hari terakhir dimeriahkan dengan kehadiran 20 kumpulan muzik yang turut sama menyokong konsep festival ini.
Sama ada bergenre rakyat, psikedelik, rock mahupun ‘hardcore’, semua anak muda ini bersatu untuk membuktikan bermain muzik bukanlah satu kesalahan jika dilakukan dengan betul.
Ideologi yang ingin disampaikan dalam festival ini cukup mendalam apabila dengan penganjuran ini juga, ia turut memberi manfaat kepada penduduk kampung untuk berniaga makanan dan minuman, menjadikan ia program yang ditunggu-tunggu setiap tahun.
Dengan tiket serendah RM3 sekali masuk, ia menarik lebih 2,000 pengunjung.
Komuniti kecil penganjur ini bukanlah satu nama besar, tetapi kesungguhan untuk cuba mendekatkan diri dengan masyarakat sekali gus membuatkan mereka memahami kemahuan anak muda itu patut dipuji.