SISWA INDIA MAHIR KHAT
Penuntut India di UKM ambil masa 3 minggu lembutkan jari hasil kaligrafi Islam
Kagum dengan keindahan khat dan kaligrafi Islam ketika pertama kali melihatnya pada usia 15 tahun, mendorong penuntut India di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini menguasai seni penulisan itu.
Malah, Menachi Rathakrishnan, 23, memasang impian menerbitkan buku mengenai khat dihasilkan sendiri suatu masa nanti,
Katanya, khat sangat istimewa di matanya dan kerana minat mendalam itu, dia menguasai tiga jenis khat iaitu Naskh yang sinonim dengan skrip al-Quran iaitu Thuluth yang muncul pertama kali pada kurun ke-11 masihi dan Riq’ah ciptaan Turki (skrip asal jawi purba).
Menachi yang berasal dari Muar, Johor berkata, terdapat 16 jenis khat dibezakan menerusi bentuk penulisan dan skrip huruf arabnya.
“Mula-mula saya melihat karya khat ketika tingkatan tiga, masa itu saya mengunjungi rumah rakan beragama Islam di Johor. Saya kagum dan jatuh cinta dengan keindahan susunan huruf dan seni halus kaligrafinya.
“Saya jadi bersemangat mempelajari seni ini dan melanjutkan pengajian di UMK membolehkan saya mempelajarinya secara formal termasuk menerusi kursus Komunikasi Visual (Ijazah Sarjana Muda).
“Pada September lalu, saya memilih Galeri Khat dan Grafik (GKG) Kelantan untuk jalani latihan praktikal dan gembira apabila dapat mendalami keindahan khat secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, tidak mudah menguasai khat dan dia mengambil masa tiga minggu melembutkan jarinya bagi menghasilkan kaligrafi Islam yang halus dan tepat.
“Berkat tunjuk ajar guru di GKG ini saya dapat menulis dengan baik. Benar kata orang, kalau sudah minat, tiada yang mustahil dicapai.
“Saya selalu pegang kata-kata itu dan akhirnya saya menguasai perkara yang saya minat,” katanya yang mendapat sokongan keluarganya untuk mempelajari ilmu itu.
Anak sulung daripada dua beradik itu mengakui khat bukan sekadar karya untuk dihargai, bahkan mengajarnya erti kesabaran dan teliti selain memberi ketenangan jiwa ketika menyiapkan bahan.
“Keunikan tulisan khat bukan saja untuk umat Islam hargai, malah orang bukan Islam seperti saya juga kagum dan tidak malu untuk mempelajarinya,” katanya.