Harian Metro

TUGAS JONA TUNTUT KESABARAN

- Hayati Nasrah hmkk@hmetro.com.my

“Setiap pekerjaan ada pengalaman manis dan pahitnya. Bagaimanap­un, terpulang pada seseorang untuk melihat perkara itu sebagai sesuatu yang negatif atau positif,” kata Ikon Metro kali ini, Jona Sonny Saimin.

Bertugas di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2), Kota Kinabalu, jururawat berusia 26 tahun ini berkata, kerjayanya sebagai menuntut dedikasi tidak berbelah bagi dalam menjaga kebajikan pesakit.

Pada masa sama, dia perlu bersabar melayan kerenah pesakit yang datang daripada pelbagai latar belakang.

“Saya menjadikan detik sukar ketika bertugas sebagai cabaran sekali gus menjadikan saya individu yang lebih baik.

“Selain itu, ia menjadikan saya insan yang lebih prihatin dan bertimbang rasa,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurut gadis keturunan Dusun itu, jururawat adalah kerjaya yang menuntut pengorbana­n besar dari segi tenaga dan masa seseorang.

Katanya, ini memandangk­an mereka perlu sentiasa peka dan berhati-hati kerana tugas itu ada kalanya memberi kesan terhadap proses rawatan pesakit.

“Ada kalanya, ia membabitka­n soal hidup dan mati.

“Sehubungan itu, kami menganggap setiap pesakit adalah seperti ahli keluarga sendiri,” katanya.

Kata Jona, dia bertuah kerana dapat berkhidmat dalam bidang itu sekali gus dapat menimba pengalaman berbeza.

“Tidak ramai yang berpeluang untuk bertemu dengan pelbagai jenis manusia dengan pelbagai ragam setiap hari,” katanya.

Ditanya mengenai hobi, anak ketiga dalam lima beradik ini berkata, dia banyak meluangkan masa dengan aktiviti menyanyi dan bermain alat muzik.

Katanya, ia membantu mengurangk­an tekanan kerja dan menyumbang kepada gaya hidup yang lebih sihat.

“Saya juga pernah merangkul gelaran Juara Duet Kebangsaan Kesenian Kementeria­n Kesihatan Malaysia pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, sejak kecil dia gemar menyanyi pada majlis keraian di sekitar Kota Kinabalu.

“Impian saya adalah bergiat secara aktif sebagai penyanyi profesiona­l pada masa depan,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia