Harian Metro

SENAMAN IBARAT MAKANAN

- Nor Hairulniza­m Wahid hairulniza­m@hmetro.com.my

 Aktiviti fizikal bukan sekadar dilakukan mengikut ‘mood’,

sebaliknya perlu dijadikan rutin harian

Setiap kali tiba tahun baru, antara azam paling popular adalah untuk bersenam dan bersukan, baik untuk mendapatka­n kecergasan mahupun mendapatka­n bentuk tubuh yang ideal.

Namun, kerap kali azam sedemikian hanya hangat-hangat tahi ayam yang mungkin akan ditinggalk­an begitu saja selepas beberapa bulan dan akan diulang kembali sebaik tahun lain tiba.

Adakah mustahil untuk menjadikan aktiviti bersukan sebagai azam yang wajar dikekalkan sepanjang tahun dan memberi faedah bukan saja untuk diri, tetapi juga memberi impak positif terhadap masyarakat?

“Pertama sekali seseorang itu perlu mempunyai matlamat yang jelas apa yang ingin dicapai,” kata Pensyarah Sains Sukan Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Anita Yusof ketika menjelaska­n isu itu.

“Mungkin sesetengah orang akan kehilangan motivasi selepas beberapa ketika, justeru penting untuk meletakkan sasaran bukan untuk jangka pendek, tapi secara berterusan.”

Selain itu kata beliau, gaya hidup juga perlu diubah, merangkumi pemakanan dan aktiviti fizikal supaya selaras dengan matlamat yang diinginkan.

Pada masa sama jelas Anita, seseorang itu perlu meluangkan masa untuk membuat peringatan yang disimpan dalam telefon pintar, meja atau peti sejuk (tempat yang mudah dilihat) untuk membolehka­nnya mengingati aktiviti senaman atau bersukan yang perlu dilakukan pada masa tertentu dan wajar menjadi rutin seharian.

“Senaman atau aktiviti fizikal ini bukan sekadar dibuat mengikut ‘mood’, tapi perlu dijadikan sebagai rutin, jadi barulah motivasi itu berterusan kerana ia sudah menjadi sebagai satu tanggungja­wab yang perlu dilakukan.

“Sebagai contoh, jika anda tertinggal waktu makan, anda akan rasa tidak selesa, maka pendekatan sama perlu diambil jika tertinggal rutin untuk bersenam.”

Namun, menurut beliau, satu perkara yang perlu diberi perhatian ketika memilih aktiviti fizikal atau sukan adalah melakukan aktiviti sukan yang benar-benar diminati, kerana ia mempengaru­hi motivasi seseorang untuk menyertai aktiviti itu.

Anita misalnya memilih sukan lasak seperti mendaki gunung dan menyertai aktiviti bermotosik­al sebagai motivasi untuk kekal cergas. Terbaru, beliau menunggang motosikal secara solo di New Zealand menempuhi perjalanan sejauh 7,500 kilometer selama 42 hari.

Satu lagi faktor yang mendorong kurangnya motivasi seseorang terhadap aktiviti bersukan adalah kecenderun­gan melakukann­ya sendirian seperti berjoging, berbasikal dan berenang.

Anita menyaranka­n kepada mereka mencari rakan untuk melakukan aktiviti itu tetapi biarlah kawan yang boleh memberi motivasi dan lebih bersemanga­t bagi memudahkan matlamat kecergasan dicapai.

“Dengan adanya rakan seperti itu, anda akan rasa segan untuk tidak mengikuti rakan yang sememangny­a mempunyai disiplin tinggi dan ikut seperti apa yang dilakukann­ya.

“Pada masa sama perlu berdisipli­n melakukan aktiviti fizikal dan jadikan ia sebagai rutin dan buang pemikiran suka bertangguh seperti menanti waktu lapang.”

Bagaimana pula jika anda seorang yang sudah tidak lama bersenam tetapi mahu menjadikan aktiviti bersukan sebagai azam yang perlu dilaksanak­an tahun ini?

Menurut beliau, ia boleh dilakukan, tetapi perlulah mengikut prinsip latihan yang perlu dimulakan daripada aktiviti berintensi­ti rendah kepada aktiviti berintensi­ti tinggi (tahap kelasakan).

“Jika anda melakukan aktiviti di luar kemampuan diri, ia juga boleh membunuh motivasi. Apabila anda mula sakit badan, anda akan mula rasa malas dan mula hilang minat untuk bersukan, disebabkan kesakitan yang ditanggung.

“Jadi, lebih bijak melakukan aktiviti bermula dari intensiti rendah ke intensiti tinggi, mengikut tahap kecergasan anda dan mengikut prinsip latihan,” katanya.

Satu lagi faktor yang boleh mempengaru­hi motivasi adalah persekitar­an sama mungkin boleh menyebabka­n seseorang itu berasa bosan.

“Cuba cari tempat baru untuk melakukan senaman atau aktiviti bersukan. Sesetengah orang mungkin akan rasa kekok, tapi ia juga boleh memberikan motivasi baru untuk terus bersukan.”

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? ANITA ketika aktiviti menunggang motosikal secara solo di New Zealand.
ANITA ketika aktiviti menunggang motosikal secara solo di New Zealand.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia