TENANG TERIMA KEPUTUSAN
Kematian wanita ditemui dalam parit tiada unsur jenayah
“Kami menerima ketentuan Ilahi dengan hati terbuka,” kata Kharul Rijal Abd Manap, 46, abang sulung Ruzimah R Abd Manap, 42, yang ditemui mati dalam parit di jalan pintas FELDA Endau-Kampung Teriang dekat Batu Hampar, petang Khamis lalu.
Katanya, mereka sekeluarga menerima laporan perubatan mengesahkan kematian Ruzimah tiada membabitkan unsur jenayah.
“Sebaik menerima laporan itu semua ahli keluarga reda dan menerima keputusan itu dengan tenang.
“Paling penting jasadnya ditemui dan jenazah dijangka dibawa pulang esok (hari ini) selepas selesai ujian pengesahan identiti dan ujian
di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor,” katanya.
Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan Pemangku Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Mersing, Mohd Zamri Ismail yang menyampaikan sumbangan.
Katanya, jenazah adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Endau selepas segala urusan di hospital selesai.
Sementara itu adik mangsa, R Kharul Anuar, 34, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberi sokongan moral dan bantuan kepada keluarganya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, hasil bedah siasat dilakukan HSI kematian mangsa akibat kemalangan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya, ketika kejadian mayat mangsa dan sebuah motosikal Yamaha LC ditemui di dalam parit berkenaan.
Harian Metro semalam melaporkan penemuan mayat Rozimah dipercayai mangsa lemas pertama akibat banjir di negeri ini.
Mayat mangsa yang hilang sejak Isnin lalu ditemui R Kharul Anuar jam 6 petang Khamis lalu di kawasan berkenaan.