Mudah serasi di lokasi
Eyka senang dengan sikap Daler yang peramah dan mudah diajak berbincang
Tidak pernah berjumpa dan mengenali antara satu sama lain. Kemudian ditemukan dalam drama bersiri sudah tentu memberikan cabaran kepada dua pelakon baru dan muda ini untuk mencari keserasian bagi menjayakan watak mereka.
Tambahan pula drama bersiri Nota Buat Cempaka yang bakal ditayangkan RTM ini menemukan
Eyka Farhana dan Daler Yusof sebagai pasangan kekasih. Ditemui di lokasi penggambaran, mereka meluahkan rasa gembira kerana ditemukan buat kali pertama.
Menurut Eyka, walaupun sebelum ini dia tidak pernah mengenali Daler, tetapi dia pernah menonton lakonannya dalam Titian Cinta.
Katanya, dia tahu watak Ryan yang dibawakan Daler menjadi ‘trending’ dan diminati ramai.
“Sepanjang saya bergelar pelakon, saya tidak banyak mendengar orang bercakap mengenai Daler sehinggalah drama Titian Cinta menjadi popular. Pada hari pertama penggambaran Nota Buat Cempaka, barulah saya kenal siapa dia.
“Pada saya, sebagai pelakon untuk mengenali siapa pasangan kita dalam filem adalah lebih baik kita mengenalinya di set penggambaran,” katanya.
Walaupun tidak pernah mengenali antara satu sama lain sebelum ini, Eyka tidak berdepan masalah sepanjang dua bulan bersama Daler untuk mencari keserasian bagi menjayakan watak mereka sebagai pasangan kekasih.
Katanya, pada hari pertama dia sudah mendapat keserasian. Kunci utama kepada perkara itu datang daripada sikap Daler sendiri yang peramah dan mudah diajak berbincang.
“Walaupun baru, kami sama-sama berusaha dan berkongsi ilmu. Sebelum memulakan penggambaran, Daler akan datang dan bertanyakan bagaimana babak itu mahu dilakukan. Saya juga melakukan perkara sama,” katanya.
Bercerita mengenai rakan lakonnya yang baru dikenali itu, Eyka berkata, selain peramah dia hormat dengan sikap jejaka berusia 26 tahun itu yang tidak pernah meninggalkan solat lima waktu walau sesibuk mana sekali pun.