ABANG BANGLA SEKSYEN 28
Sindiket penyeludupan manusia antarabangsa tumpas dengan penangkapan dalang utama dikenali sebagai Abang Bangla dalam satu serbuan di sebuah rumah di Seksyen 28, Shah Alam Selangor awal pagi, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sindiket ini dipercayai menjalankan kegiatan antara lapan bulan dan setahun lalu.
Katanya, siasatan mendapati Abang Bangla atau nama sebenarnya Abdur Rauf berusia 43 tahun menguruskan kemasukan warga Bangladesh yang disenaraihitamkan untuk masuk semula ke negara ini.
“Modus operandinya adalah menguruskan tiket penerbangan mereka dari Dhaka ke Jakarta, Indonesia sebelum dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan tikus sama ada darat atau laut.
“Kemasukan mereka diuruskan ejen sindiket yang berada di Dhaka dan Jakarta serta menggunakan khidmat tekong untuk masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.
“Mereka terpaksa membayar RM15,000 hingga RM20,000 kepada sindiket untuk masuk ke Malaysia,” katanya di Ibu Pejabat Imigresen di sini, semalam.
Mustafar berkata, dalam kes ini sindiket menjadikan pesisir pantai Sekinchan sebagai lokasi pendaratan warga Bangladesh berkenaan sebelum disimpan di rumah pengapungan terlebih dulu hingga mereka menyelesaikan bayaran berkenaan.
Katanya, selepas itu mereka akan diserahkan kepada ejen atau majikan yang memerlukan pekerja asing.
Beliau berkata, Abang Bangla dikesan masuk ke Malaysia pada Jun 2013 dan bekerja di sebuah syarikat di Brickfields, Kuala Lumpur, bagaimanapun, siasatan mendapati pasportnya juga tamat pada Ogos 2016.
“Kami masih menyiasat sama ada dia hanya terbabit dalam membawa masuk warga Bangladesh atau terbabit dalam kegiatan lain seperti memalsukan dokumen dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa JIM jam 2 pagi itu, 50 warga Bangladesh berusia 20 hingga 45 tahun ditahan.
Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang disyaki bersubahat sebagai pembantu dan bersekongkol dengan Abang Bangla berkenaan.
“Sejumlah wang RM13,400 dan 48 pasport dirampas. Malah, sebuah teksi turut untuk siasatan lanjut.
“Abang Bangla dan pembantunya ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) manakala 50 warga Bangladesh ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam operasi berasingan semalam, Mustafar berkata, JIM menahan 183 warga asing iaitu 60 warga India, 121 (Bangladesh) dan dua lelaki Pakistan yang bekerja di sebuah gudang di Subang Jaya, Selangor.
Katanya, mereka dipercayai mangsa pemerdagangan manusia yang akan ‘dijual’ kepada majikan.
“Tangkapan dilakukan kerana mereka di premis itu dengan pendatang asing tanpa izin (PATI), kita jelas bahawa di tempat tertentu, majikan yang menggajikan orang, mereka (majikan) hendaklah memberikan pekerjaan kepada orang itu, bukan menjual pula orang ini ke tempat lain yang akhirnya kita tahu ini adalah pemerdagangan orang atau perhambaan moden
“Mereka tidak sepatutnya bekerja di gudang berkenaan, ada beberapa syarikat penyumberan luar yang uruskan mereka ke tempat itu, kami sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik gudang dan ejen syarikat penyumberan luar ini,”katanya.
Dalang utama sindiket bawa masuk warga asing melalui Jakarta ditahan di Shah Alam Abang Bangla dikesan masuk ke Malaysia pada Jun 2013 dan didapati pasportnya juga tamat pada Ogos 2016
Mustafar Ali