KLHC kekal kejuaraan kali kelima
Kuala Terengganu: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mempertahankan gelaran Piala Sumbangsih buat kali kelima berturut-turut selepas berjaya menumpaskan musuh tradisi, Pasukan Hoki Terengganu (THT) 5-4 menerusi penentuan pukulan penalti di Stadium Hoki Batu Burok di sini, semalam.
Kekalahan THT itu sekali gus meranapkan impian skuad berkenaan untuk mencipta sejarah kali pertama meraih trofi berkenaan selepas kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi aksi sebenar.
Keputusan itu membolehkan KLHC dan THT berkongsi satu mata pada perlawanan pertama Liga Hoki Malaysia (MHL) tersebut.
Terdahulu, THT yang gagal mempertahankan Piala Tan Sri P Alagendra Ahad lalu bermula garang dengan asakan bertubi-tubi ke kubu gol lawan dan nyaris mendahului KLHC pada minit ke-13 menerusi Joaqin Menini namun pukulan kencang pemain itu sedikit tersasar di atas palang gol.
Tersentak asakan itu pasukan pelawat bimbingan jurulatih, Lim Chiow Chuan memperkemaskan asakan dan berjaya mendapat jaringan pendahuluan melalui pukulan sudut penalti bekas pemain THT, Jang Jonghyun.
Dua minit kemudian, THT mendapat pukulan sudut penalti pertama tetapi pukulan yang diambil pakar pukulan sudut penalti dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat gagal menemui mulut gol sekali gus terselamat gawang KLHC.
KLHC yang kerap bertahan berjaya mengukuhkan kedudukan 2-0 melalui jaringan padang Muhammad Hafizuddin Zaidi pada minit ke-24 perlawanan.
THT yang beraksi di depan penyokong sendiri terus berusaha untuk merapatkan kedudukan namun kekebalan benteng pertahanan pelawat mengecewakan kem THT biarpun berpeluang meledak jaringan pertama menerusi Lopez Barreiros pada minit ke-25.
Bersambung babak kedua skuad bimbingan Sarjit Singh berjaya merapatkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-44 menjadikan kedudukan 2-1.
Ketika perlawanan seakan-akan memihak kepada KLHC, Peillat tampil meledak jaringan penyamaan menerusi pukulan penalti stroke dua minit sebelum tamat permainan untuk mengheret perlawanan ke pukulan penalti shoot out.
Dengan kemenangan itu KLHC berjaya membawa pulang Piala Sumbangsih yang disampaikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.