Moden tapi tidak keterlaluan
Ga ya peragawati ini tatkala beraksi di hadapan lensa kamera cukup bersahaja. Terserlah profesionalisme apabila dia mampu ‘membawakan’ busana Carrisa sehingga setiap padanan tampil sempurna dan nampak anggun digayakan.
Tertanya juga, adakah penggayaan model yang membuatkan busana kelihatan cukup menyerlah atau sebenarnya rekaan pereka bernama Zurin Zakaria ini cukup sempurna sehingga menampakkan sisi berbeza pemakai baik dari segi potongan mahupun fabrik digunakan.
Menjelaskan lebih lanjut, ujar Zurin, ketika ingin melancarkan jenama ini tahun lalu, dia sudah menetapkan konsep yang ingin dibawakannya iaitu moden namun tidak keterlaluan.
“Koleksi sedia dipakai ini memberi tumpuan kepada potongan bagi menyerlahkan gaya wanita bertudung mahupun tidak. Malah dalam setiap lakaran saya mengambil kira potongan yang sesuai dengan bentuk badan, tidak terlalu ketat, tidak jarang serta kelihatan manis dan sopan,” ujarnya.
Mengakui tidak mahir dalam rekaan fesyen kerana latar belakang dalam perniagaan namun minat mendalam menyebabkan dia berkongsi idea dengan pereka Arma Abdul Rahman terutama dari segi potongan dan fabrik sehingga lahirnya koleksi Carrisa x Arma.
“Saya mengenali Arma ketika ingin melangsungkan perkahwinan dan dia mereka busana indah hari persandingan saya. Kemudian lama-kelamaan kami menjadi sahabat. Apabila membuat perancangan membuka butik, Arma adalah orang sesuai untuk saya mendapatkan khidmat nasihat. Oleh itu kelahiran Carrisa x Arma amat dinanti-nantikan dan saya berpuas hati melihat hasilnya,” katanya yang dulunya menjalankan perkhidmatan rundingan perniagaan bersama suami selama 23 tahun.
Tampil dengan rekaan moden, menggunakan fabrik sifon, renda dan organza, ketiga-tiga fabrik ini menjadi pilihan disebabkan sifatnya yang beralun cantik, lembut serta selesa digayakan.
Untuk setiap potongan,
Zurin menggunakan konsep dua helaian iaitu busana dipadankan skirt berbentuk A. Keistimewaan setiap rekaan terserlah apabila ditambah perincian seperti reben besar pada dada, jahitan manik dan batu permata yang menampakkan gaya elegan dan mewah.
“Tambahan perincian ini memberikan keunikan tersendiri. Apatah lagi apabila digayakan ke acara tertentu. Mereka juga boleh memadankan dengan seluar. Konsep suai padan ini memudahkan wanita memilih corak dan warna mereka sendiri,” katanya.
Memilih rona pastel serta terang, bagi Zurin wanita hari ini lebih berani dan menonjol. Oleh itu mereka mampu menggayakan apa sahaja padanan yang disukai asalkan nampak sopan.
“Antara rona yang dipilih seperti merah bata, biru, merah jambu dan hijau lembut serta warna pastel seperti kelabu, merah kekuningan, krim dan coklat,” katanya yang turut mempunyai butik di pusat belibelah SACC Mall Shah Alam.
Selain pakaian sepasang, Carrisa turut menyediakan blaus, palazo, skirt dan pelbagai jenis selendang yang boleh disuai padan dengan gaya harian wanita.
Butik di Strand Kota Damansara ini turut menyediakan khidmat rundingan untuk pelanggan terutama ketika memilih padanan sesuai dengan tubuh mereka. Harga ditawarkan bermula RM250 ke atas dan sesuai dipakai wanita muda mahupun yang lebih berusia.
Guna konsep dua helaian iaitu busana dipadankan
skirt berbentuk A untuk setiap
potongan