Harian Metro

Sejuk macam di Cameron Highlands

-

Kuala Pilah: Cuaca sejuk dengan suhu mencecah 21 darjah Celsius menjadi fenomena luar biasa buat penduduk di daerah ini sehingga terpaksa berpakaian tebal walaupun berada di dalam rumah.

Tinjauan mendapati cuaca dingin dan hujan selain tiupan angin agak kuat menyebabka­n orang ramai terutama kanak-kanak mengenakan pakaian tebal untuk mengelak kesejukan.

Guru yang menetap di Batu Kikir, Mohd Afiza Abu Bakar, 39, berkata, suasana itu jarang berlaku menyebabka­n keluargany­a terpaksa mengenakan baju tebal dan hanya berada di rumah walaupun pada hari minggu.

Menurutnya, cuaca sejuk memang pernah berlaku di daerah ini dua tahun lalu berpunca daripada tempias tiupan angin luruan disebabkan tekanan tinggi di China.

“Saya dan keluarga tidur nyenyak setiap malam tanpa perlu memasang penghawa dingin akibat sejuk. Malah, tiga anak saya terpaksa menggunaka­n selimut dan baju sejuk selain mandi dengan air panas.

“Jika anak saya mahu keluar bermain, saya menyuruh mereka memakai pakaian tebal bagi mengelak terlalu sejuk dan kekejangan otot,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Anak lelakinya Muhamad Airiel Hakeem, 10, berkata, suasana sejuk di rumahnya ketika ini membuatkan dia terasa seperti berada di Cameron Highlands, Pahang.

“Saya dan keluarga pernah beberapa kali bercuti di Cameron Highlands dan suka dengan suhu di kawasan berkenaan. Saya teruja dengan suasana dirasai sekarang ini,” katanya.

Pengarah Jabatan Meteorolog­i Negeri Sembilan Mohammad Redzuan Abdul Moin berkata, cuaca sejuk itu dijangka akan kembali seperti biasa hari

ini.

Beliau berkata, suhu maksimum direkodkan di daerah ini adalah 29 darjah Celcius manakala suhu terendah adalah 21 darjah Celsius.

Semalam, Jabatan Meteorolog­i mengesahka­n beberapa kawasan terutama di selatan Semenanjun­g mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah merekodkan suhu paling rendah iaitu 21 darjah Celsius sejak tengah malam hingga awal pagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia