Harian Metro

Anak pinjam, ayah jadi mangsa

-

Kuala Lumpur: Anak pinjam, ayah jadi mangsa. Situasi itu menimpa seorang warga emas yang diugut individu tidak dikenali selepas anak lelaki sulungnya meminjam daripada along dengan nilai keseluruha­n mencecah RM200,000.

Warga emas dikenali sebagai Mustapha, 60, berasal dari Gombak, Selangor, berkata, dia kini hidup dalam ketakutan kerana hampir setiap minggu rumahnya dikunjungi samseng yang menuntut hutang berkenaan.

Dia berkata, anak sulung berusia 30 tahun tidak lagi tinggal bersamanya kerana mempunyai masalah keluarga selain bekerja sebagai penyelia di sebuah pasar raya di bandar raya ini.

“Saya tidak mengetahui anak mempunyai masalah kewangan atau terdesak menggunaka­n wang namun dia tidak pernah meminjam wang daripada ahli keluarga.

“Dia juga sudah tidak pulang ke rumah kerana bergaduh dengan adik beradik lain menyebabka­n kisah kehidupann­ya tidak diketahui ahli keluarga lain,” katanya.

Menurut Mustapha, kehidupann­ya terganggu apabila menerima panggilan ugutan daripada individu tidak dikenali yang meminta supaya menjelaska­n pinjaman berjumlah RM200,000.

“Individu berkenaan mendakwa anak sulung saya meminjam dengannya tiga bulan lalu dan enggan membayar sehingga sekarang.

”Lebih menakutkan lagi, beberapa individu dipercayai konco along datang ke rumah meminta wang selain menyimbah cat merah di pintu pagar kediaman saya,” katanya.

Mustapha berkata, dia bersama ahli keluarga hidup dalam ketakutan kerana rumah mereka sentiasa dikunjungi individu tidak dikenali walaupun sudah menjelaska­n bahawa anak sulungnya tidak lagi menetap di rumah berkenaan.

“Mereka tetap mahu saya membayarny­a kerana anak sulung meletakkan nama saya sebagai penjamin dan jika enggan berbuat demikian, geng along itu mengugut akan membakar kediaman saya.

“Berikutan tidak tahan dengan ancaman terbabit, saya membuat laporan di balai polis berhampira­n untuk tindakan susulan selain cuba mengesan anak sulung yang sehingga kini gagal dihubungi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia