Harian Metro

Malaysia berada di Tahap Satu USTA

-

Kuala Lumpur: Keberkesan­an pihak berkuasa mendepani ancaman kumpulan militan dan kepakaran negara dalam naratif pemulihan keganasan berjaya meletakkan Malaysia pada tahap terendah dalam Sistem Kedudukan Keselamata­n dan Sekuriti (USTA) yang diperkenal­kan oleh Amerika Syarikat (AS).

Berdasarka­n USTA berkenaan, Malaysia diletakkan pada Tahap Satu iaitu tahap keselamata­n biasa berbanding dua lagi negara jiran iaitu Indonesia serta Filipina yang berada pada Tahap Kedua iaitu amaran keselamata­n berjaga-jaga.

Hasil daripada notis keselamata­n berkenaan, 11 negara mencatatka­n kedudukan Tahap Empat iaitu larangan melancong iaitu Afghanista­n, Republik Afrika Tengah, Iran, Iraq, Libya, Mali, Korea Utara, Syria, Yaman, Sudan Selatan dan Somalia.

Profesor Pelawat Institut Kajian Strategik dan Keamanan Global Ibn Khaldun, Turki, Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, keputusan positif itu adalah hasil berterusan pihak berkuasa terutamany­a Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani sebarang ancaman kumpulan militan.

“Kita perlu akui satu perkara bahawa E8 dan pihak berkuasa memainkan peranan yang begitu besar dalam mematahkan puluhan cubaan serangan daripada anggota kumpulan militan terutamany­a Daish.

“Selain itu, keberkesan­an kita adalah menerusi sesi pemulihan yang disertai pakar di semua peringkat, sekali gus menyekat sebarang perkembang­an ideologi berkenaan.

“Selepas serangan kelab malam di Puchong yang didalangi oleh anggota militan Daish, kita tidak mendengar lagi insiden sama.

“Polis berperanan begitu proaktif dalam langkah pencegahan,” katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Mohd Mizan berkata, negara juga mewujudkan beberapa perundanga­n khusus untuk menyekat ancaman kegiatan militan termasuk memperkena­lkan Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau berkata, perundanga­n itu membolehka­n pihak berkuasa melaksanak­an tugas pencegahan iaitu sebelum berlakunya jenayah atau serangan termasuk keprihatin­an masyarakat berhubung bahaya militan Daish serta ideologiny­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia