Harian Metro

Saiful yakin kemampuan anak buah

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin menegaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) bukanlah pasukan yang tidak mampu untuk ditewaskan oleh anak buahnya menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada saingan Liga Perdana hari ini.

KLHC sehingga kini dilihat berada pada prestasi terbaik selepas memenangi Piala Tan Sri P Alagendra serta Piala Sumbangsih dalam tempoh seminggu dengan kedua-duanya menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) menerusi penentuan penalti shoot-out.

Namun TNB juga turut berada di kemuncak prestasi selepas menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-2 pada perlawanan pertama liga kelmarin.

Saiful tidak menafikan kemampuan KLHC tetapi pada masa sama beliau cukup yakin dengan kemampuan barisan pemainnya yang langsung tidak menggunaka­n tonggak import.

“KLHC hanya memenangi kedua-dua perlawanan itu menerusi penentuan penalti shoot-out.

“Jadi sebenarnya mereka bukanlah pasukan yang tidak boleh ditewaskan. Apapun saya akui KLHC mempunyai dua pakar pukulan sudut penalti yang baik dan itulah sedikit membezakan mereka dengan kami,” katanya merujuk kepada tonggak import Jang Jong Hyun dan Muhammad Razie Abdul Rahim.

Jelas Saiful, dalam usaha untuk mencari tiga mata penuh esok, beliau menggesa barisan pemainnya supaya kembali fokus dan tidak memberikan ruang kepada lawan untuk mendapatka­n pukulan sudut penalti.

“KLHC juga mempunyai barisan pemain import yang bagus tetapi tiada apa yang perlu digusarkan oleh barisan pemain saya.

“Kami sudah menerapkan sikap supaya mereka tidak perlu untuk berasa takut bertemu dengan lawan yang dibarisi tonggak import,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia