Harian Metro

AKSI TERPUJI

-

 Skuad B-23 cerah peluang isi slot suku akhir selepas ikat Jordan

Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) kembali menghidupk­an peluang untuk mencari tiket ke suku akhir selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Jordan pada perlawanan kedua Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, China, semalam.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee kini mengutip satu mata selepas tumpas 4-1 di tangan juara 2013, Iraq pada aksi pembukaan Rabu lalu dan akan membuat perhitunga­n terakhir dengan Arab Saudi Selasa ini di Kushan.

Dalam aksi kedua semalam, Kim Swee melakukan dua pertukaran dalam kesebelasa­n utama apabila menggantik­an penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kasim dengan Haziq Nadzli manakala Akhyar Abdul Rashid pula mengambil tempat penyerang N Thanabalan yang mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi menentang Iraq.

Tiada jalan lain buat skuad negara selain meraih mata dalam perlawanan ini untuk menghidupk­an peluang ke peringkat seterusnya namun seperti diduga, Jordan pemenang tempat ketiga edisi 2013 bukan lawan yang mudah.

Jordan yang dibimbing Iain Richard Brunskill mula mengancam kubu negara menerusi percubaan Ahmed Fawzi Mahmoud pada minit ke-10.

Malaysia yang cuba mengimbang­i corak permainan pantas pasukan lawan memiliki peluang terbaik pada minit ke-13 tapi rembatan lemah penyerang Jafri Firdaus Chew mudah diselamatk­an penjaga gol Rafat Khaldoon Al Rabie.

Namun benteng negara terperangk­ap dengan bola hantaran jauh pemain Jordan yang meraih gol pertama hasil tolakan Ward Helal Khalid memperdaya­kan Haziq.

Tetapi semangat anak buah Kim Swee kembali menyala apabila mendapat sepakan penalti selepas Akhyar dijatuhkan oleh Saed Ahmad Salameh. Safawi Rasid, yang menjaringk­an gol ketika menentang Iraq, tenang menyempurn­akan sepakan penalti untuk mengikat kedudukan 1-1 di minit ke-43.

Skuad negara terus mempamerka­n aksi bertenaga dan memperoleh­i peluang terbaik menerusi rembatan Safawi yang singgah di tepi jaring manakala percubaan Akhyar terkena tiang gol.

Malaysia seharusnya menamatkan permainan ini dengan kemenangan tetapi tiang sekali lagi menjadi penghalang kepada percubaan Matthew Davies di minit ke-73.

Jordan yang terdesak mahukan kemenangan selepas seri 2-2 dengan Arab Saudi sebelum ini turut mengasak tetapi gagal menembusi benteng skuad negara.

 ??  ?? PEMAIN negara meraikan gol penalti Safawi (dua kanan).
PEMAIN negara meraikan gol penalti Safawi (dua kanan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia