Harian Metro

Pasukan penyelamat redah hutan 15km

-

Hulu Langat: Jalan licin dan laluan curam antara 50 hingga 70 darjah serta hutan tebal. Itu kesulitan yang perlu dihadapi pasukan mencari dan penyelamat untuk membawa turun mangsa yang terjatuh di Gunung Nuang di sini, tengah hari semalam.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Alimaddia Bukri berkata, berdasarka­n kiraan, jarak antara lokasi mangsa terjatuh ke pusat kawalan operasi di kaki bukit berkenaan adalah kira-kira 10 kilometer.

“Lokasi mangsa terjatuh berhampira­n puncak gunung dengan ketinggian 1,498 meter dari aras laut dan itu adalah titik tertinggi di Selangor.

“Jarak 10 kilometer itu adalah jarak bagi laluan datar atau tanah rata dan jika dihitung dengan keadaan laluan berbukit, ia mungkin mencecah 15 kilometer. Lokasi mangsa menjadi sangat jauh kerana laluan berbukit,” katanya ketika ditemui di lokasi, semalam.

Beliau berkata, keadaan geografi dan keadaan trek yang berair akibat hujan sejak beberapa hari lalu menyebabka­n pergerakan terhad selain kebanyakan anggota yang terbabit sudah kepenatan kerana mula bertugas sejak petang kelmarin.

Difahamkan, berat mangsa juga mencecah hampir 100 kilogram.

Katanya, seramai 30 anggota bomba, 52 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain pendaki yang terdiri daripada orang awam terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia