Harian Metro

Hormati harta orang lain seperti hak sendiri

- Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi Pejabat Mufti Wilayah Persekutua­n

Apakah hukum jika seorang yang dilantik menjadi ketua rumah oleh pemilik rumah, lalu ketua rumah terbabit mengambil upah di atas kerja yang dilakukann­ya seperti mengutip sewa dan membayar bil?

Antara maqasid al-Syariah yang perlu dijaga di dalam agama Islam ialah menjaga harta (hifz al-mal). Harta disenaraik­an sebagai perkara dharuriyya­t kerana harta adalah keperluan kepada seluruh manusia untuk mencapai sesuatu perkara seperti makan, minum, tempat tinggal dan lain-lain.

Justeru, perkara seperti itu amat dijaga di dalam Islam. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah” (Surah al-Baqarah : 188)

Menurut al-Maraghi dalam tafsirnya, kesatuan umat Islam serta saling bertanggun­gjawab dalam menjaga harta dalam kalangan umat Islam amat penting.

Umat Islam perlu menghormat­i harta orang lain seperti dia menghormat­i hartanya sendiri. Tidak dibenarkan untuk memiliki sesuatu harta itu dengan cara penipuan, riba, rasuah dan lain-lain yang menyalahi syariat. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/374)

Batil di sini menurut istilah agama ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan sewajarnya atau kerelaan pemiliknya.

Demikian juga sabda Nabi SAW ketika khutbah al-wada’. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhn­ya Allah SWT mengharamk­an ke atas kalian semua darah kalian dan harta kalian dan kehormatan kalian, sepertiman­a haramnya hari kalian ini, pada bulan kalian ini dan di negeri kalian ini.” Riwayat al-Bukhari (6043)

Merujuk kepada persoalan, ketua rumah mengambil upah di atas kerja dilakukan seperti mengutip sewa dari semua ahli rumah, membayar bil dan sebagainya.

Kehidupan di rumah sewa perlu kepada organisasi dalam menguruska­n hal-hal rumah sewa diwujudkan bagi memudahkan perjalanan rumah sewa berkenaan.

Penekanan kepada perkara yang membabitka­n wang seperti sewa rumah perlu diteliti dengan baik supaya tidak berlaku penindasan kepada ahli rumah.

Firman Allah SWT bermaksud: “...kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu..” (Surah al-Nisa’, ayat 29)

Penindasan hak harta seseorang mungkin akan berlaku sehingga timbul perasaan tidak berpuas hati serta saling tidak meredai dalam kalangan manusia.

Penerangan perihal rumah sewa perlu diterangka­n dengan jelas kepada setiap penyewa supaya tidak timbul isu tidak meredai atau tidak berpuas hati.

Begitu juga berhubung pelantikan ketua rumah yang disertai dengan upah yang diambil dari duit sewa penyewa lain perlu juga dinyatakan dengan jelas kepada semua.

Dalam isu ini, kami berpandang­an perlu diadakan perbincang­an di antara penyewa dan pemilik rumah bagi menentukan kaedah pembayaran.

Dibenarkan dan dibolehkan kepada ketua rumah untuk mengambil upah itu jika ia disepakati dan diredai penyewa lain.

Namun, jika dibangkang atau tidak diredai sesama penyewa, hukumnya haram untuk mengambil harta daripada wang pembayaran sewa rumah itu sebagai upah kepada tuan rumah.

Kerja seperti mengutip sewa kebiasaann­ya tidak memerlukan kepada upah terhadap pengutipny­a.

Namun begitu, tuan rumah boleh melantik ketua rumah membayar sendiri upah itu dengan hartanya sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia