Peruntukan lebih besar
Kerajaan Sabah masih memerlukan bantuan Kerajaan Pusat dalam menyalurkan peruntukan yang besar untuk pembangunan sosio ekonomi negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata, masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan untuk pembangunan negeri ini terutamanya dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam untuk rakyat.
“Kita memerlukan peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan lagi kemudahan awam termasuk hospital dan klinik kerajaan, sekolah dan universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Perdana bersama Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan Negeri Sabah di Pejabat Persekutuan Negeri Sabah (PPNS), di sini, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Thani.
Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, peruntukan itu bagi menaik taraf infrastruktur
Kerajaan Persekutuan perlu bantu tingkat kemudahan awam
sedia ada seperti jalan raya, air dan elektrik serta aset keselamatan untuk memperkukuhkan lagi aspek pertahanan di negeri ini.
“Sehubungan itu, jalinan erat kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh dalam usaha membantu meningkatkan lagi pembangunan sosio ekonomi tempatan,” katanya.
Sementara itu, Sukarti berkata, penjawat awam di negeri ini disaran menyokong dan mengamalkan dasar sedia ada termasuklah Pelan Tindakan Strategik Jangka Panjang Sabah (Sabah LEAP 2016 - 2035) dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).