Harian Metro

Cari langkah segera timbus kawah lombong

-

Kuantan: Arahan moratorium dikeluarka­n kerajaan pada 2016 memaksa semua pengendali lombong menghentik­an serta-merta aktiviti mereka, malah ada yang meninggalk­an kerja separuh jalan.

Bagi penduduk yang tanah mereka sudah selesai dilakukan kerja melombong, mungkin boleh menarik nafas lega, tetapi ada juga penduduk yang hanya mampu menggaru kepala apabila kerja berkenaan tidak selesai dan terhenti pada saat mereka mahu menuai hasil.

Ada sesetengah kawasan di FELDA Bukit Goh di sini, ditinggalk­an dengan timbunan bauksit tidak diratakan, tidak kurang juga ada yang membentuk kawah kesan korekan apabila tidak ditimbus kembali.

Pastinya keadaan itu bukan saja menyakitka­n mata memandang namun mengundang bahaya kepada penduduk sekitar terutama kanak-kanak.

Justeru, ada penduduk memohon supaya pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri mencari langkah sewajarnya untuk menimbus kembali kawah atau kolam di bekas lombong berkenaan.

Penduduk, Rasidi

Jaamat, 43, berkata, tanah milik bapanya di FELDA berkenaan seluas 0.8 hektar yang dikorek oleh kontraktor lombong masih lagi tidak dikambus dan diratakan.

Katanya, aktiviti perlombong­an itu terhenti di tengah jalan selepas arahan moratorium dikeluarka­n, namun bapanya tetap menerima bayaran kira-kira RM300,000 seperti dijanjikan.

“Keadaan tanah yang dikorek dan dibiarkan itu pasti mengundang bahaya kepada penduduk setempat, malah ada juga rumah penduduk betul-betul berada di tebing ‘kawah’ lombong bauksit.

“Risau juga apabila memikirkan keselamata­n anak-anak yang mungkin bermain di kawasan itu, justeru penduduk di FELDA ini memohon langkah sewajarnya diambil bagi mengatasi masalah itu,” katanya.

Katanya, dia tidak menghalang jika aktiviti itu kembali diteruskan, namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu tidak melalui kawasan perumahan penduduk.

Sementara itu, A Bakar Mat @ Awang, 70, berkata, timbunan bauksit masih dibiarkan di tanahnya di kawasan RTP Bukit Goh dengan lubang yang dikorek bagi mengeluark­an bahan mineral itu masih tidak ditimbus pengendali lombong.

Katanya, dia kini buntu untuk meratakan dan menimbus tanah itu selepas kontraktor yang menjalanka­n aktiviti melombong di tanah miliknya itu memberhent­ikan kerja mereka serta-merta selepas moratorium dikeluarka­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia