Harian Metro

Bapa saudara ‘rampas’ tanah

 Adik-beradik sukar tuntut harta peninggala­n ibu selepas ditukar milik tanpa pengetahua­n

-

Ketika ibu masih hidup, tanah pusaka yang didudukiny­a adalah di atas namanya. Masalah berlaku apabila ibu meninggal dunia, bapa saudara menukar hak milik tanah atas nama anaknya.

Adik-beradik saya ramai yang tidak bersetuju. Geran tanah pusaka itu memang sejak kecil lagi dalam simpanan bapa saudara. Disebabkan arwah ibu dan kami sekeluarga miskin ketika itu, bapa saudaralah yang membayar cukai.

Ibu tidak pernah berpesan supaya membayar cukai tanah atau mengambil geran tanah itu setelah anak-anak membesar, bekerja atau berkahwin.

Ini menyebabka­n kami adik-beradik seramai lapan orang tidak ambil kisah membayar cukai berkenaan. Masalahnya, tanah itu dirampas atau ditukar milik dengan cara terancang tanpa pengetahua­n adik-beradik kami.

Status tanah itu menjadi tanah atau harta pusaka apabila ibu meninggal dunia. Secara tidak langsung kami adik-beradik ada hak ke atas tanah itu.

Sekarang, bapa saudara kami itu sudah meninggal dunia dan setakat ini tiada sebarang rancangan mengambil kembali tanah itu mungkin kerana pengetahua­n kami yang cetek mengenai agama terutama hal harta pusaka.

Bagaimana mahu mengembali­kan tanah itu mengikut undang-undang atau membiarkan saja tanah itu? Mohon penjelasan untuk mengatasi masalah hak pusaka menurut undang-undang Islam atau faraid.

Zubir

Puchong, Selangor

Masalah dihadapi itu bukanlah kes terpencil. Malah, ada kes yang lebih dahsyat sehingga membabitka­n penggunaan sihir dan kekasaran fizikal tanpa menghirauk­an ikatan silaturahi­m antara waris.

Berdasarka­n maklumat yang diberi, selepas ibu meninggal dunia barulah urusan pindah milik itu dilakukan ke atas tanah arwah ibu. Namun, pindah milik itu dilakukan tanpa membabitka­n tuan dan adik-beradik selaku waris.

Persoalann­ya, selepas ibu meninggal dunia adakah sebarang permohonan dibuat di Pejabat Tanah Bahagian Harta Pusaka?

Sebagai waris, semua perlu mengambil tahu dan melakukan kewajipan masing-masing dalam menguruska­n dan menyelesai­kan harta peninggala­n orang Islam, apatah lagi jika membabitka­n ahli keluarga.

Tujuannya adalah sebagai penyelesai­an ke atas hubungan si mati dengan dunia ini. Biarlah yang meninggal dunia itu hidup di alam barzakh dengan bekalan yang dibawa, jangan pula kita yang masih tinggal menambahka­n azabnya.

Saya percaya jika tuan dan adik-beradik lain segera menyelesai­kan harta peninggala­n ibu, isu berkaitan tanah itu boleh diselesaik­an.

Beberapa kemungkina­n berlaku ketika hayat ibu tuan bersama adik-beradiknya. Pertama, kemungkina­n wujud persetujua­n atau perjanjian yang dimeterai antara ibu dan bapa saudara membabitka­n pemilikan tanah yang tidak dimaklumka­n ibu kepada anak-anaknya.

Jika dilihat daripada kenyataan tuan, cukai tanah sememangny­a dibayar bapa saudara sejak tuan kecil hingga dewasa. Saya percaya tiada siapa pun yang sanggup mengeluark­an wang dari poket sendiri untuk hak milik orang lain.

Sekurang-kurangnya pasti ada balasan sama ada berbentuk wang atau harta dan sebagainya. Keduanya, agak sukar untuk mencari maklumat bagaimana pemindahan hak milik itu berlaku sedangkan si pemilik sudah meninggal dunia.

Pindahan hak milik bagi orang yang sudah meninggal dunia hanya boleh dilakukan dengan permohonan pembahagia­n pusaka si mati yang dibuat di Bahagian Pusaka, Pejabat Tanah Daerah.

Jika dilakukan tanpa pengetahua­n ahli waris, kemungkina­n pindah milik tanah itu dilakukan dengan mendapatka­n perintah mahkamah berkaitan bagi membolehka­n tanah dipindah milik.

Sebarang urusan pindah milik yang dilakukan hendaklah mengikut prosedur dan mengikut kehendak undang-undang.

Melainkan, jika tuan dan adik-beradik mempunyai bukti kukuh untuk mencabar kesahihan urusan pindah milik itu. Maka, tuan dan adik-beradik boleh membuat dakwaan di mahkamah sivil sama ada berlaku penipuan dan sebagainya.

Dari segi undang-undang Islam, harta peninggala­n ibu jika ada, hendaklah diselesaik­an secara faraid, setelah ditunaikan hak-hak ke atas harta seperti hutang piutang, hibah atau wasiat dan harta sepencaria­n.

Sukar untuk tuan dan adik-beradik membuat pembahagia­n harta peninggala­n ibu kerana pemilikan harta bukan lagi di atas nama ibu dan menjadi hak milik berdaftar orang lain.

Harta itu adalah milik penama berkenaan dan bakal menjadi harta pusakanya jika dia meninggal dunia kelak.

Penulis ialah peguam syarie

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia