Harian Metro

Bahana mentaliti tak bertamadun

-

Emosi kita cukup terusik apabila dikhabarka­n insiden seorang remaja berusia 15 tahun menemui ajal selepas ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri di Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam kelmarin.

Mangsa yang baru pulang dari kedai runcit bersama ibunya mati di tempat kejadian akibat ditimpa sebuah kerusi pejabat berwarna biru dipercayai dicampak di tingkat atas mengenai kepalanya.

Apalah dosa individu itu yang tidak semena-mena menjadi mangsa kepada tindakan tidak bijak seperti itu? Perbuatan seperti ini bukan lagi satu kesalahan biasa, ia satu jenayah pembunuhan yang perlu mendapat pembalasan yang setimpal!

Islam sendiri melarang sekeras-kerasnya untuk umatnya melakukan pembunuhan melalui peringatan Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh orang yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak...” (Surah al-An’am, ayat 151)

Kes ini bukan kes terpencil, bahkan seakan-akan sudah menjadi halwa telinga kita saban tahun dengan kes yang hampir sama. Sikap sebilangan penduduk di rumah pangsa yang cukup malas untuk turun membuang sampah di tempat yang disediakan membuatkan mereka dengan mudah membaling sampah ke bawah pangsapuri. Bukan saja sampah sarap sisa makanan atau bahan kotoran yang dibaling ke bawah, ada yang melaporkan kejadian di mana peralatan tajam dan berat seperti pisau, televisyen, dan monitor komputer juga dibuang ke bawah dengan begitu mudah!

Mereka memang tidak memikirkan kesan perbuatan itu yang bukan saja akan menyesakka­n mata memandang sampah sarap yang bertaburan, bahkan boleh merosakkan harta awam atau harta peribadi, mencederak­an bahkan membunuh nyawa yang tidak berdosa.

Mentang-mentang tinggal di kawasan yang dikongsi bersama-sama jiran yang lain dan selalunya kebersihan akan diselengga­ra pekerja pembersiha­n, apakah ia satu bentuk ‘lesen agung’ untuk mereka ini membuang sampah sarap sebegitu rupa? Ini cerminan keperibadi­an mereka yang tidak bertanggun­gjawab, pemalas dan mementingk­an diri sendiri.

Dalam sesetengah kes, dilaporkan golongan tidak bertanggun­gjawab ini jika ditegur, mereka buat endah tidak endah. Mulalah seribu satu alasan diberikan seperti lif rosaklah, aras rumah terlalu tinggilah, kesuntukan masa dan sebagainya. Malah, ada juga yang tidak boleh menerima teguran dan melenting sehingga bersikap agresif dan mulalah mencari gaduh.

Tidakkah golongan ini pernah terfikir apabila sampah sarap bertaburan dan berlonggok­an di persekitar­an rumah pangsapuri sebegini, maka banyak pula kesan buruk lain yang akan muncul. Sampah-sarap akan menarik perhatian anjing liar ataupun binatang berbisa yang boleh membahayak­an nyawa. Begitu juga dengan lipas, lalat dan nyamuk galak mengembang­kan habitatnya yang mana akan membawa pelbagai penyakit berbahaya kepada penduduk sekeliling.

Banyak kempen yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bagi membendung permasalah­an sebegini. Badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk dan sebagainya sekian lama ‘berjuang’ untuk memastikan wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk lebih bertanggun­gjawab menguruska­n pembuangan sampah mereka. Inisiatif seperti membentuk Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan rumah pangsa, penambahan tong sampah atau kawasan pembuangan sampah berhampira­n, gotong-royong secara berkala dan seumpamany­a adalah usaha murni yang perlu disokong dan didukung.

Dari aspek perundanga­n pula, ada akta yang dikuatkuas­akan untuk mendidik masyarakat melalui usaha perundanga­n. Misalnya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersiha­n (PPSPPA) yang menguatkua­sakan hukuman mengikut Seksyen 71, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersiha­n Awam 2007 ke atas individu yang membuang sampah merata-rata dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000.

Berkenaan hal ini, agama Islam sangat menitikber­atkan akan keperluan umatnya menyeimban­gkan antara hak peribadi dan hak orang lain seperti masyarakat sekeliling. Jiran di sekitar kediaman mempunyai hak mereka untuk menghirup udara yang segar, menikmati kebersihan dan keindahan alam kurniaan Allah SWT.

Bukankah kita sudah biasa mendengar bahawa kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman? Mengapa nikmat kebersihan itu tidak kita hargai dan syukuri sebaik-baiknya? Kita juga sering diingatkan, barang siapa yang mensyukuri akan nikmat kurniaan Allah ini, pasti akan ditambah lagi nikmat oleh-Nya seperti mana yang difirmanka­n Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “...Sesungguhn­ya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu...”(Surah Ibrahim, ayat 7)

Semua pihak harus memainkan peranan dalam membendung isu tidak cakna masyarakat terutama di pangsapuri supaya tragedi sama tidak berulang. Didiklah diri sendiri dan ahli keluarga atau sahabat supaya memainkan peranan sebaiknya dalam membentuk kejiranan yang indah, ceria dan selamat. Dalam zaman serba canggih dengan aplikasi komunikasi dalam telefon bimbit, mainkan peranan dengan melaporkan segera kepada pihak berwajib andai kita tahu atau ternampak pelaku vandalisme seumpama ini yang masih tegar dengan sikap buruk membuang sampah sewenang-wenangnya di kawasan kejiranan.

Jadilah, ahli komuniti kejiranan yang bertanggun­gjawab dan lakukanlah kebaikan walaupun ia kelihatan kecil dan tidak signifikan di mata masyarakat. Yakinlah bahawa Allah SWT akan membalas perbuatan baik kita itu dengan kebaikan seperti mana yang dijanjikan Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjaka­n kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjaka­n kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia kan melihat (balasan) nya pula.”

(Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia

 ??  ?? LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia