Harian Metro

Indonesia kerah tentera bantu Papua

-

Jakarta: Kerajaan Indonesia mengerah paramedik tentera, selain menghantar bekalan makanan dan vaksin ke timur wilayah Papua, susulan laporan 61 bayi maut akibat masalah kekurangan makanan serta penyakit campak.

Papua antara wilayah paling miskin di Indonesia, walaupun ia kaya dengan pelbagai sumber alam.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sebelum ini berjanji mempercepa­tkan proses pembanguna­n di wilayah itu ketika berkuasa pada 2014.

“Keadaan di kawasan terpencil Asmat adalah satu insiden luar biasa,” kata Kementeria­n Kesihatan dalam satu kenyataan sambil menambah akan menghantar 39 kakitangan kesihatan ke kawasan berkenaan.

Setakat ini, tentera Indonesia sudah menghantar 53 anggotanya, termasuk paramedik, selain peralatan perubatan, vaksin dan 11,100 paket makanan segera.

“Kami sedang berusaha mengawal keadaan. Masalah kekurangan zat makanan dan penyakit mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“Masalah kurang zat makanan akan memudahkan anda diserang penyakit,” kata Menteri Kesihatan, Nila Moelek kepada Reuters.

Sementara itu, Kementeria­n Kesihatan sedang mengumpul data jumlah kematian bayi di wilayah itu, namun akhbar harian Kompas melaporkan sekurang-kurangnya 61 bayi maut. - Reuters

 ??  ?? SEKUMPULAN kanak-kanak berehat di kampung mereka di Asmat di wilayah Papua, Indonesia. - AFP
SEKUMPULAN kanak-kanak berehat di kampung mereka di Asmat di wilayah Papua, Indonesia. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia