Harian Metro

Cekup tiga dalang

- Ekhwan Haque Fazlul Haque ekhwan@hmetro.com.my

 Sindiket curi motor segera lerai, buang rangka elak dihidu

Curi, lerai dan buang. Itu modus operandi sindiket curi motosikal bagi memastikan aktiviti jenayah mereka tidak dihidu pihak berkuasa.

Sindiket didalangi lelaki tempatan itu dikesan bertindak demikian bagi mempercepa­tkan urusan penjualan komponen motosikal yang dicuri.

Namun, taktik itu tidak bertahan lama apabila tiga lelaki tempatan yang dipercayai aktif melakukan jenayah itu ditahan di sebuah rumah di Taman Arbi, di sini, petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, semua suspek berusia antara 20 dan 30 tahun ditahan dalam serbuan jam 4 petang.

Menurutnya, serbuan dijalankan hasil risikan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Sekama dan Balai Polis Tabuan Jaya.

“Hasil serbuan itu membawa kepada penemuan rangka motosikal yang sudah dileraikan oleh suspek dan dibuang ke dalam semak berhampira­n rumah berkenaan.

“Siasatan mendapati semua suspek turut dipercayai terbabit dengan kehilangan skuter di kawasan Sekama sehari sebelum itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, dalam serbuan sama polis turut merampas pelbagai komponen motosikal dipercayai dicuri sebelum dijual di pasaran gelap.

Dalam kejayaan berasingan, polis menahan dua lelaki dipercayai mencuri Honda EX5 yang dilaporkan hilang di bandar raya ini, kelmarin.

Abang Ahmad berkata, suspek berusia 35 dan 36 tahun ditahan di Kampung Tabuan Hilir, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari hasil intipan dan risikan sebaik menerima maklumat mengenai kehilangan motosikal berkenaan.

“Polis merampas motosikal yang menggunaka­n nombor pendaftara­n palsu di rumah berkenaan dipercayai dicuri suspek.

“Semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan penahanan mereka berjaya menyelesai­kan beberapa kes kehilangan motosikal di daerah ini,” katanya.

 ??  ?? RANGKA motosikal yang ditemui polis.
RANGKA motosikal yang ditemui polis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia