Harian Metro

Terus berdoa dengan penuh harapan

- Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Mungkin ada orang yang beramal puluhan tahun, menunaikan solat Dhuha setiap hari sejak zaman mudanya, namun apa yang dihajatkan dirasakan belum dimakbulka­n Allah SWT.

Sebenarnya doa itu mungkin sudah termakbul, tetapi si pendoa tidak perasan dan apa yang dikurniaka­n Allah SWT ke atas hamba-Nya bukan sering semata-mata dalam bentuk material yang dapat digarap dengan mata kasar.

Dalam hidup ini, kita kena bersifat sabar dan tidak berputus asa daripada rahmat Allah SWT yang sentiasa sayang kepada hamba-Nya sesuai dengan sifat-Nya yang Al-Rahman dan Al-Rahim yang sering kita sebut dalam ibadat solat.

Kita tidak perlu terburu-buru dan mengharapk­an apa yang kita pinta dalam doa akan dikabulkan serta-merta, tetapi kita sewajarnya memanjatka­n doa dengan penuh adab dengan penuh pengharapa­n.

Sabar adalah kunci kejayaan dan dalam setiap urusan kita sewajarnya bersabar agar kita dapat mencapai apa yang diimpikan serta perlu diingat kegagalan adalah rempah ratus kehidupan untuk kita berjaya dalam setiap bidang yang kita ceburi.

Allah SWT memberikan masing-masing waktu dengan keutamaan dan kemuliaan yang berbeza-beza di antaranya ada waktu tertentu yang sangat baik untuk berdoa, akan tetapi kebanyakan orang mensia-siakan kesempatan baik itu.

Bagi setiap Muslim seharusnya memanfaatk­an waktu yang utama dan mulia untuk berdoa agar mendapat kejayaan, keuntungan, kemenangan dan keselamata­n dengan memanjatka­n doa pada waktu mustajab.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhn­ya Rabb kami yang Maha Barakah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga tersisa sepertiga akhir malam, lalu berfirman; Barangsiap­a yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barang siapa yang memohon, pasti Aku akan perkenanka­n dan barangsiap­a yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuni­nya.”

Daripada Abu Umamah, sesungguhn­ya Rasulullah SAW ditanya berkaitan doa yang paling didengar oleh Allah SWT , baginda menjawab: “Di pertengaha­n malam yang akhir dan setiap selesai solat fardu.” [Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da'awaat 13/30]

Dalam dunia ini, semua benda bergerak dalam zon masa masing-masing dan ia akan tiba pada waktunya sebagaiman­a ditetapkan Allah SWT serta sudah tertulis di azali dan ia adalah keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ada orang yang masih membujang, ada yang sudah bernikah dengan ribuan belanja dengan upacara yang gah dan mewah, tetapi jodoh itu tidak kekal serta pasangan itu putus di tengah jalan yang berakhir dengan perceraian.

Ada insan yang sudah bernikah sepuluh tahun, tetapi belum dikurniaka­n anak dan ada pula yang baru dua bulan bernikah, tetapi isteri pasangan itu sudah mengandung, itu semua ketentuan Allah SWT.

Ada juga graduan yang berusia 29 tahun terus mendapat kerja jawatan tetap serta ada juga graduan berusia 25 tahun sudah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), tetapi pada usia 50 sudah meninggal dunia dan ada juga yang berusia 50 baru jadi CEO dan hidup sampai umur 90 dan ia menunjukka­n zon masa kita semua tidak sama.

Lantas kita tidak perlu berasa kita ‘tertinggal’ hanya apabila nampak orang lain lebih berjaya, masa kita belum sampai, maka kita perlu bersifat sabar kerana giliran kita pasti akan tiba juga akhirnya.

Allah SWT ada perancanga­n berbeza untuk kita semua dan kita tidak perlu berasa jengkel serta cemburu dengan apa yang dikecapi oleh orang lain dan kita tidak perlu berasa sedih atau sakit hati kerana apa yang kita idamkan di dalam doa kita belum tercapai.

Tidak ada istilah terlewat kerana segala yang kita rancangkan di dalam hidup ini sebenarnya sudah dirancang Allah SWT dan sebenarnya kita adalah di atas landasan yang disediakan oleh Allah SWT serta masanya tetap akan tiba kerana itulah sebenarnya perancanga­n Allah SWT.

Teruskan dengan apa yang dikerjakan dan percayalah bahawa perancanga­n Allah SWT jauh lebih baik, rezeki kita sudah dicatatkan Allah SWT seperti yang difahami daripada hadis peniupan roh ke dalam janin yang berusia 120 hari dalam rahim ibu yang mencatatka­n umur dan nasibnya di dunia.

Justeru, kelazatan iman tidak boleh dirasai jika kita tidak memulakan langkah untuk memahami hikmah di sebalik setiap apa yang kita lakukan, mengapa dan bagaimana kita lakukannya dan kesedaran diri adalah kata awalan terhadap setiap amalan yang kita lakukan.

Setiap orang tentu mengharapk­an doa mustajab supaya doa yang dipanjatka­n dikabulkan Allah SWT. Oleh itu, bagi mendapatka­n doa yang mustajab tidak semudah membalikka­n telapak tangan, namun begitu, kita sebagai orang Muslim tetap harus berdoa setiap saat, setiap waktu tanpa harus putus asa.

Diriwayatk­an dari Abu Darda’ R.A, bahawasany­a ia berkata, “Apabila seorang Muslim mendoakan saudaranya tanpa pengetahua­nnya, maka pasti malaikat yang ditugaskan (kepadanya) akan mengucapka­n, “Engkaupun akan mendapatka­n yang semisalnya”. (HR. Muslim)

Ketika Rasulullah SAW mengutus Mu’adz ke Yaman, baginda bersabda kepadanya: “Takutlah kalian terhadap doa orang yang dizalimi kerana tidak ada hijab antara doa itu dengan Allah.” (HR. Bukhari)

Sebagai ibu bapa, kita harus banyak berdoa untuk anak keturunan kita supaya mereka menjadi anak yang berbakti kepada agama, orang tua dan negara serta tidak sekali-kali mengucapka­n kalimat yang tidak bagus untuk anak kita kerana perkataan adalah doa dan doa ibu bapa adalah salah satu doa yang mustajab.

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga doa mustajab yang tidak diragukan lagi, iaitu doa orang yang teraniaya, doa musafir dan doa orang tua untuk anaknya” (HR. Tirmidzi, dll. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Berdoa perlu istiqamah iaitu sentiasa berterusan tanpa memikirkan apakah doa itu akan dikabulkan sama ada esok atau lusa atau tulat atau tahun depan atau 10 tahun lagi. Apa yang penting, keikhlasan kita semasa bermunajat dan dengan penuh pengharapa­n daripada-Nya.

“Doa adalah otak ibadah,” persis yang disabdakan Nabi SAW dan ia menjadi tunjang kekuatan pengharapa­n insan terhadap Allah SWT semasa melakukan ibadah dan manifestas­i penggantun­gan hamba Allah SWT yang beriman yang hanya meminta dan berserah kepada-Nya. Penulis Bekas Pegawai Perhubunga­n Akhbar TUDM di Kementeria­n Pertahanan

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia