Harian Metro

Angguk faham tuduhan bunuh budak

-

Kulai: Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, awal bulan ini.

S Mosas, 24, mengangguk tanda faham akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapny­a. Bagaimanap­un, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Mohammad Salehuddin Abd Sani.

Berdasarka­n kertas pertuduhan, Mosas didakwa menyebabka­n kematian J Paul Ebinesan di laluan Jalan Perak 1 dan rumah Flat Temenggong di sini, antara jam 5.30 petang hingga jam 7 malam pada 3 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh yang berpakaian lokap berwarna ungu itu. Mahkamah kemudian menetapkan 28 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 3 Januari lalu, kanak-kanak itu dilaporkan dihantar ibunya ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini, kira-kira jam 7.30 malam dalam keadaan tidak bernafas.

Mangsa disahkan meninggal dunia sebelum pihak hospital menghubung­i polis kerana mengesyaki dia didera.

Hasil pemeriksaa­n awal mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua belah telinga mangsa, selain kesan lebam di kepala sebelah kirinya.

Malah, terdapat juga kesan lebam lama di belakang badan mangsa dan terdapat takungan air di kerongkong­nya. Ibu mangsa berusia 18 tahun dan neneknya, 56, ditahan pada hari kejadian di hospital itu untuk membantu siasatan.

Tertuduh yang dipercayai teman lelaki kepada ibu mangsa ditahan dua hari kemudian selepas disyaki mendera mangsa sehingga menyebabka­n kematianny­a.

Ibu dan nenek mangsa yang ditahan reman 14 hari kemudian dibebaskan dan akan menjadi saksi pendakwaan.

 ??  ?? MOSAS
MOSAS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia