Harian Metro

Ingatkan babi hutan

- Junaidi_ladjana @hmetro.com.my

 Lelaki tertembak rakan sendiri ketika berburu

Akibat disangka babi hutan, seorang petani meninggal dunia selepas dipercayai ditembak rakan dengan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk ketika berburu di kawasan hutan di Kampung Kauran, Kemabong, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mayat Amit Bies, 89, dari Kampung Kauran, Kemabong ditemui dalam keadaan terlentang dengan lima kesan tembakan di tubuhnya di satu lokasi di dalam hutan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tenom Deputi Superinten­dan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, sebelum kejadian, supek berusia 34 tahun dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Kemabong Lama, kira-kira jam 11 pagi. Difahamkan lelaki itu membawa senjata api untuk berburu di kawasan hutan berkenaan.

Katanya, pada jam 12 tengah hari, suspek mendakwa terlihat seekor babi hutan dalam jarak 15 meter (m).

Menurutnya, suspek melepaskan satu das tembakan, sebelum mendengar suara seseorang menjerit.

“Dia kemudian mendapati seorang lelaki dikenaliny­a terkena tembakan.

“Suspek yang terkejut kemudian memberitah­u kejadian itu kepada abang iparnya sebelum kedua-duanya kembali ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, suspek dan abang iparnya kemudian menemui mayat mangsa di satu lokasi di dalam hutan itu.

Selain itu, mereka turut menemui senjata api yang dipercayai dibuang suspek.

“Susulan kejadian, lelaki itu ditemani oleh abang iparnya membuat laporan di Balai Polis Tenom,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, susulan kejadian, sepasukan polis pergi ke hutan itu sebelum menemui mayat mangsa.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tenom untuk bedah siasat. Polis turut merampas dua senjata api, masing-masing buatan sendiri dan jenis Steven.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

 ??  ?? Petani maut tertembak ketika berburu di kawasan hutan di Kampung Kauran, Kemabong di Tenom.
Petani maut tertembak ketika berburu di kawasan hutan di Kampung Kauran, Kemabong di Tenom.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia