STRATEGI NAWWAL
Pelajar cemerlang tak sambung belajar ceburi bidang perniagaan dapat anugerah
food truck terbaik
Tindakan seorang pelajar cemerlang yang memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 tidak menyambung pengajian, sebaliknya memilih menjalankan perniagaan berbaloi apabila perniagaan kenderaan saji atau diusahakannya mendapat sambutan menggalakkan.
Nawwal Syafiqah Muhammad Rushdi, 19, dari Kampung Surau Haji Mat Zain, Bukit Payong di sini, menjalankan perniagaan kendera saji dengan menjual lapan jenis makanan ala Barat di bawah jenama Makang Sedak.
Lebih membanggakan apabila perniagaan diusahakan sejak Ogos 2016 itu mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah
Terbaik sempena Festival Malaysia di Ipoh, Perak anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada November 2017.
Uniknya perniagaan diusahakan remaja terbabit apabila semua hidangan dijual menggunakan loghat Terengganu iaitu beger singer, tortilla, ciken ricih, ciken ricih super double triple, anak bol, ayoh bol, ciken bol dan greni sandwich.
Nawwal Syafiqah berkata, dia tidak menyesal kerana tidak melanjutkan pelajaran selepas meraih keputusan cemerlang dalam SPM semata-mata untuk menjalankan perniagaan itu.
“Saya menimba pelbagai pengalaman dan ilmu perniagaan apabila membabitkan diri dengan perniagaan ini.
“Perniagaan ini membuatkan saya lebih matang, berfikiran jauh, komited dan bercita-cita tinggi yang menjadi impian saya untuk memiliki tiga kenderaan saji, sebuah restoran selain memiliki sebuah restoran pandu lalu dalam tempoh 10 tahun lagi,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Lagam, Kemaman.
Menurutnya, perniagaannya bermula dari rumah dengan menyediakan burger dan tortilla sebelum dihantar kepada pelanggan.
“Saudara-mara dan kenalan terdekat menjadi rujukan utama untuk menilai sama ada hidangan disediakan menepati cita rasa mereka atau sebaliknya.
“Saya cuba menyediakan hidangan yang menepati selera ramai sebelum menjualnya dan media sosial seperti Facebook antara medium utama yang membantu mempromosikan makanan dijual,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Dr Norzila Tengah @ Abdul Rashid, 44, berkata, dia menggalakkan anaknya menceburi bidang perniagaan kerana menyedari bidang itu lebih menjamin masa depan dan memberi pulangan yang begitu lumayan.
“Sebagai ibu, saya menyokong apa saja minat dan kecenderungan anak dan memandangkan dia minat berniaga, saya memberi sokongan dan membimbingnya secara serius,” katanya.