SYOR WUJUD DI SETIAP SEKOLAH
Baru-baru ini pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) ada mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan segera satu Kod Etika Ibu Bapa untuk melindungi guru selain dapat mengharmonikan hubungan kedua-dua pihak antara pihak sekolah, khususnya guru dengan ibu bapa atau penjaga pelajar.
Kewujudan kod etika berkenaan dilihat dapat memastikan maruah dan emosi guru tidak terjejas akibat daripada sebarang tekanan berpunca daripada serangan atau tindakan ibu bapa yang tidak berpuas hati terhadap tugas atau tindakan yang diambil oleh guru terhadap anak mereka di sekolah.
Tidak dapat dinafikan lagi tugas dan beban yang dipikul guru dilihat semakin hari semakin mencabar. Apa tidaknya, guru kini terpaksa menghadapi beban tugas dan tanggungjawab berat dalam usaha mereka mendidik pelajar sekolah serta pada masa sama menghadapi segala isu berbangkit dalam kalangan pelajar sekolah seperti isu buli, samseng, ponteng sekolah, gejala merokok, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.
Semua permasalahan yang berlaku dalam kalangan pelajar kini dilihat semakin sukar untuk dibendung kerana ada pelbagai halangan terhadapnya. Antara halangan yang paling mencabar yang terpaksa dihadapi oleh guru ialah halangan yang boleh datang daripada pihak keluarga pelajar itu sendiri yang kadangkala dilihat lebih gemar membela bermati-matian anak kesayangan mereka sehingga mereka tidak dapat melihat kebenaran atau hakikat yang sebenarnya.
Lebih menyedihkan lagi guru sering diugut dengan pelbagai tindakan undang-undang seperti tindakan saman sekiranya mereka mengambil sebarang tindakan disiplin yang wajar terhadap anak mereka. Oleh itu, agak sukar untuk guru mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap mana-mana pelajar yang didapati terbabit dengan sebarang kesalahan disiplin yang dilakukan.
Akhirnya, pelajar berkenaan akan ‘naik kepala’ serta terus terjebak dengan aktiviti tidak sihat yang mungkin boleh menjejaskan masa depan mereka. Memandangkan suasana masa kini sudah menjadi begitu kompleks di kawasan sekolah, ada pihak mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia supaya sebuah klinik bantuan guaman diwujudkan di setiap sekolah ataupun sekurang-kurangnya di setiap peringkat jabatan pendidikan daerah atau negeri di seluruh negara kita.
Ia dilihat penting supaya ia dapat menjadi pusat rujukan mana-mana pihak di sekolah jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kelak. Klinik bantuan guaman itu dilihat mampu menawarkan nasihat umum yang berkaitan dengan aspek perundangan semasa. Ia juga dapat membantu mana-mana pihak di sekolah yang beranggapan diri mereka teraniaya untuk mendapatkan nasihat undang-undang secara umum serta mengetahui langkah yang boleh diambil mereka jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
Sebenarnya, cadangan penubuhan unit bantuan guaman ini inisiatif yang boleh diberikan perhatian oleh pihak berkaitan. Ia boleh diusahakan melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Majlis Peguam Malaysia (MPM) yang boleh dianggotai pengamal undang-undang di negara kita yang memiliki kepakaran dalam bidang berkaitan dengan segala isu dan permasalahan yang berlaku dalam sekolah dan institusi pendidikan di negara kita.
Tidak mustahil, kewujudan klinik bantuan guaman ini mampu membawa sedikit sebanyak keredaan terhadap segala isu membabitkan pihak berkaitan dan permasalahan yang dihadapi di sekolah, sesuai dengan peredaran zaman masa kini yang penuh mencabar dan dugaan.
Penulis Penyelaras, Klinik Bantuan Guaman, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Kewujudan klinik bantuan guaman ini mampu membawa sedikit sebanyak keredaan terhadap segala isu membabitkan pihak berkaitan dan permasalahan yang dihadapi di sekolah