Harian Metro

Tiada keganjilan ditemui

-

Georgetown: Tiada sebarang keganjilan ditemui. Itu rumusan awal Jabatan Kesihatan Pulau Pinang selepas melakukan lawatan ke kilang kopi campuran segera yang dipercayai menjadi punca lima individu mengalami gejala letih dan lemah teruk.

Pengarahny­a, Dr Wan Mansor Hamzah berkata, pihaknya melakukan tinjauan itu minggu lalu, sejurus menerima laporan berhubung tiga individu yang dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas minum kopi berkenaan.

Beliau berkata, kilang yang terletak di Seberang Perai dan mula beroperasi sejak 2009 itu menepati semua syarat ditetapkan Jabatan Kesihatan negeri termasuk mempunyai pensijilan Amalan Pengilanga­n Baik (GMP).

“Kami tidak menemui sebarang perkara yang tidak baik di kilang berkenaan. Semuanya mengikuti syarat ditetapkan Jabatan Kesihatan negeri.

“Bagaimanap­un, kami tidak menolak kemungkina­n ada unsur ‘campuran luar’ yang dilakukan di bahagian pengedaran. Perkara itu masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan negeri mengesahka­n lima individu mengalami gejala letih dan lemah teruk selepas dipercayai minum sejenis kopi campuran segera.

Lima individu itu termasuk dua warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamata­n di Pulau Tikus di sini, mengalami pening kepala keterlalua­n dan pitam, Selasa lalu sebelum dikejarkan ke HPP oleh rakan sekerja mereka.

Sementara itu, Dr Wan Mansor berkata, dua warga Nepal terbabit dibenarkan pulang semalam.

Katanya, sampel darah mangsa dan sampel kopi berkenaan juga sudah dihantar ke makmal lain yang lebih canggih bagi mempercepa­tkan hasil analisis.

“Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan baru membabitka­n mangsa lain.

“Hasil analisis juga mungkin akan diumumkan Kementeria­n Kesihatan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia