Harian Metro

Ganjaran besar solat berjemaah

-

(Bab Kitab Solat)

Ada pendapat mengatakan makruh sekiranya kita bersolat mengikut imam yang fasiq. Manakah lebih baik antara mengikut imam yang fasiq atau bersolat secara bersendiri­an atau kedua-duanya sama sahaja?

Mengikut pendapat yang sah, solat secara berjemaah walaupun berimamkan imam yang fasiq adalah lebih baik daripada bersolat secara seorang diri.

Apabila seorang lelaki bersolat berjemaah di rumah bersama isteri dan anak, adakah cara sedemikian mereka juga mendapat fadilat pahala jemaah sempurna iaitu dua puluh tujuh darjat seperti mana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW? Sekiranya terhasil ganjaran pahala itu, adakah untuk setiap kali berjemaah atau bagaimana?

Hasil ganjaran pahala itu tetap akan dapat setiap kali berjemaah. Sebagaiman­a diketahui, semakin ramai jemaah maka semakin afdal.

Berjemaah di masjid lebih baik daripada berjemaah di surau. Begitu juga berjemaah di surau adalah lebih baik daripada berjemaah di rumah.

Adakah wanita juga dituntut supaya datang ke masjid untuk solat berjemaah bersama lelaki?

Makruh hukumnya bagi wanita muda atau gadis (datang ke masjid untuk solat berjemaah bersama lelaki). Begitu juga dengan wanita yang sudah berumur datang ke masjid untuk bersolat jemaah dengan mengenakan bau-bauan dan memakai perhiasan.

Apakah bentuk dan jenis was-was yang dimaafkan dan yang tidak dimaafkan untuk mendapat fadilat takbiratul ihram berserta imamnya?

Sekiranya perasaan was-was itu hanya sepintas lalu ketika melakukan takbiratul ihram, maka tiada halangan baginya mendapat fadilat dan kelebihan takbiratul ihram berserta imam.

Tetapi sekiranya was-was itu agak lama maka dia terhalang daripada mendapat fadilat takbiratul ihram bersama imamnya mengikut pendapat Syeikh Ramli Kabir

Sebaik seseorang itu masuk dalam masjid, dia mendapati bilal baru selesai iqamat dan imam pun melakukan takbiratul ihram.

Adakah dia diharuskan turut takbiratul ihram bersama imam dan bergerak untuk mendapatka­n tempatnya dalam saf atau dia dikehendak­i berjalan mendapatka­n tempatnya dalam saf dulu kemudian baru takbiratul ihram?

Dia dikehendak­i supaya berjalan mendapatka­n tempatnya di dalam saf dulu kemudian baru melakukan takbiratul ihram walaupun luput fadilat takbiratul ihram bersama imam.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia