Harian Metro

GUGUP TETAP ADA

-

 Baddrol tak nafi gementar menjelang sepak mula,

akui Kedah tiada tekanan beraksi di Larkin

Johor Bahru

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar tidak menafikan betapa perasaan gementar untuk beraksi pada kancah Liga Malaysia (Liga M) tetap ada bukan saja pada dirinya malah turut membabitka­n semua rakan sepasukan.

Tambahnya, aksi pertama menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga perlawanan pertama Liga Super sememangny­a menghadirk­an perasaan gemuruh apatah lagi berdepan pasukan hebat kendalian Ulisses Morais.

“Walaupun pernah beraksi pada saingan sama musim lalu, perasaan gementar tetap ada kerana kami bukan saja berdepan JDT yang juga juara Liga Super empat musim berturut-turut malah perlu berdepan sorakan padu penyokong mereka.

“Namun apabila permainan bermula, saya optimis pemain Kedah akan melupakan perasaan gementar dan beri fokus sepenuhnya pada perlawanan dan berjuang habis-habisan memburu kemenangan.

“Kami tahu JDT ada kelebihan beraksi di laman sendiri, namun akan turun dengan semangat tinggi untuk berusaha membawa pulang Piala Sultan Ahmad Shah ke bumi Darul Aman bagi permulaan positif dalam liga,” katanya pada sidang media, semalam.

Baddrol juga menegaskan, penentuan kemenangan pada pertembung­an itu lebih terarah kepada pasukan mana yang menjaringk­an gol dan pantas mempertaha­nkan jaringan untuk memburu kemenangan.

Katanya, tiada tekanan buat skuad Lang Merah untuk berdepan Harimau Selatan kerana dia melabel pasukannya sebagai bukan pilihan berbanding JDT yang pasti lebih tertekan kerana beraksi di tempat sendiri.

“Kehadiran Pablo Pallares dan Álvaro Silva beri suntikan kekuatan Kedah pada musim ini dan kedua-dua pemain itu memiliki sikap positif yang boleh dijadikan contoh kepada pemain muda.

“Saya berharap salah seorang daripada mereka mampu beri sumbangan untuk Kedah melakar kemenangan pada perlawanan itu nanti kerana kami membuat persiapan begitu rapi bagi menghadapi JDT,” kata Baddrol.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia