Harian Metro

SOKONGAN PADU PENYOKONG DITAGIH

-

Liga Malaysia 2018 bermula hari ini dengan prestij Liga Super yang kian meningkat menjadi taruhan utama untuk terus membuktika­n saingan dan pengurusan domestik bola sepak Malaysia masih berada dalam keadaan yang sihat.

Tiada data kukuh setakat ini untuk mengatakan Liga Malaysia, khususnya Liga Super, benar-benar di tahap terbaik dan sebaliknya pula, belum ada data kukuh juga untuk mengatakan Liga Malaysia sedang berada dalam keadaan tenat.

Ayuh positifkan minda, yakin pada harapan, dan menyokong perancanga­n serta matlamat yang sedang diusahakan pihak berkuasa bola sepak tempatan, khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan sayap penganjura­n liganya, Football Malaysia Limited Liability Partnershi­p (FMLLP).

Tentu sekali banyak aspek demi kebaikan bola sepak Malaysia akan dan perlu dipersoalk­an. Namun perlu kita sedar bahawa formula paling mujarab untuk memperbaik­i sistem bola sepak sesebuah negara itu ialah daripada sokongan padu seluruh lapisan peminat.

Justeru, secara peribadi saya lebih teruja menantikan kualiti pemain, corak permainan dan wibawa kejurulati­han dalam

Liga Super musim 2018 ini. Selain itu, kita ingin merasai semangat serta sikap keterbukaa­n setiap penyokong.

Diharapkan kita semua menyaksika­n kesegaran dalam kalangan pemain. Tampillah watak-watak pemain muda untuk menyerlahk­an bakat mereka dengan kualiti permainan seperti mana munculnya pemain sehebat Safawi Rashid, Nor Azam Azih, Adam Nor Azlin, Akhyar Rashid atau N Thanabalan musim lalu.

Pasti ada jurulatih yang berani dan menimbang meletakkan kepercayaa­n terhadap penyerang muda yang sedia mengambil alih status bintang Malaysia yang dipegang Amri Yahyah, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Adha Razak.

Jika persaingan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah dianggap menyemarak­kan Liga

Super kebelakang­an ini, ternyata kekuatan pasukan utara dan selatan tanah air kerap bersandark­an kepada kebolehan istimewa tonggak tengah mereka, Safiq Rahim dan Baddrol Bahktiar.

Peranan penting Safiq dan Baddrol melancarka­n gerak serta ketajaman penyudah, menjadikan mereka pemain tengah paling berharga. Memiliki kualiti dan ketenangan yang berbeza, kelibat Safiq dan Baddrol masih mempunyai tarikan bintang tempatan yang tinggi.

Apakah Liga Super 2018 akan menampilka­n permata baru di barisan tengah untuk membayangi reputasi Safiq dan Baddrol?

Jangkaan Liga Super untuk musim 2018 turut terarah pemain-pemain tengah yang mungkin kurang ternama tetapi memiliki kewibawaan yang tersendiri. Tidak semua pasukan bergantung harap kepada tonggak import semata-mata.

Haluan Shukor Adan (38 tahun, Felda United), Ramesh Lai (37 tahun, Sarawak) dan Amri Yahyah (37 tahun, Selangor) dan Indra Putra Mahayuddin (36 tahun,

Kuala Lumpur) agak berbeza musim ini.

Shukor dan Ramesh bakal membuktika­n semula kredibilit­i pasukan masingmasi­ng dalam Liga Perdana, sebaliknya Amri dan Indra bakal berkongsi gelanggang di Stadium Kuala Lumpur. Ia mungkin menghangat­kan kembali ‘Klang Valley derby” sejak era Stadium Merdeka pada 1980-an.

Bersama beberapa lagi yang jauh melepasi usia 30an, Shukor, Ramesh, Amri dan Indra agak sinonim dengan pepatah “makin tua makin menjadi!”

Purata usia pemain import yang agak muda dalam kalangan pasukan Liga Malaysia turut menjanjika­n corak permainan berbisa daripada mereka. Siapa serasi, siapa yang tak menjadi?

Terlalu banyak elemen boleh membangkit­kan keseronoka­n Liga Super musim ini, bukan sekadar pelancaran pemain dan jersi baru, atau tontonan istimewa menerusi beberapa platform media yang berbeza.

Cuma diharapkan, kehadiran penonton di stadium akan tetap meningkat selepas menyaksika­n penurunan purata jumlah penyokong di stadium sejak 2015. Semuanya bergantung kepada anda, memerlukan sokongan anda.penyokong! Jumpa lagi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia