Harian Metro

Ramai tahanan ‘rindu’ nasi lemak

-

Bangkok (Thailand): Seramai 395 rakyat Malaysia meringkuk di penjara Thailand dengan 136 daripada mereka menjalani hukuman berkaitan dadah.

Sumber Kedutaan Malaysia di Bangkok berkata, sebahagian kecil daripada rakyat Malaysia yang berada di beberapa penjara Thailand pula membabitka­n kesalahan berkaitan kad kredit.

“Semua banduan ini berusia antara 20-an hingga 60-an ditahan pihak berkuasa Thailand atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk menyeludup manusia.

“Ramai waris keluarga atau banduan salah faham apabila rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa negara yang kita kunjungi atas apa kesalahan pun, mereka hanya boleh mendapatka­n bimbingan nasihat daripada Konsular Malaysia di negara itu, bukan mengeluark­an mereka daripada penjara,” katanya.

Menurutnya, apabila menjadi mangsa, keluarga mangsa harus memahami skop atau bidang tugas Konsular Malaysia yang hanya boleh memberi bantuan seperti nasihat dan bimbingan, tetapi tidak boleh mencampuri atau mengubah undang-undang negara mangsa ditahan.

“Memang tugas konsular membantu dengan memberitah­u mengenai hak membela diri, menghubung­i keluarga, membantu menguruska­n khidmat guaman melalui bantuan Wisma Putra dan mengadakan lawatan konsular.

“Tetapi, mentaliti sebilangan rakyat Malaysia menyangka konsular boleh melepaskan mereka daripada tahanan tidak benar, orang ditahan tetap ditahan dan sekiranya terbukti sesiapa pun tidak boleh melepaskan diri kerana ia termaktub dengan undang-undang negara terbabit,” katanya.

“Selain itu, ada antara banduan di Thailand yang menulis surat kepada kedutaan atas pelbagai sebab dan paling banyak meminta dibawakan nasi lemak.

“Mungkin mereka begitu merindui makanan rasmi negara kita dan kebiasaann­ya pegawai kedutaan memenuhi permintaan banduan dengan membawa nasi lemak ketika melawat mereka,” katanya.

Sumber itu berkata, pejabat konsular di kedutaan negara di Bangkok juga melakukan lawatan berkala terhadap semua tahanan rakyat Malaysia bagi mengetahui keadaan terkini dan kebajikan mereka.

“Lawatan dibuat kerana layanan pihak berkuasa penjara terhadap tahanan kita menjadi lebih baik sekiranya kerap menerima kunjungan konsular.

“Namun, kita perlu tahu, di Thailand kami hanya adaseorang konsular dan semestinya dia tidak mampu melawat lebih 300 banduan secara kerap, namun mewakilkan mereka kepada pegawai kedutaan lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia