Harian Metro

UNTUKMU TASNIM

- Mahaizura Abd Malik news@nstp.com.my

Bapa cipta lagu khas zahir rasa sayang

buat anak hidap autisme

Kuala Lumpur

Luahan isi hati dan harapan seorang bapa, Jamarulniz­am Ibrahim,

39, yang tidak pernah mengenal erti putus asa membesarka­n anaknya, Adriana Tasnim, 5, yang menghidap autisme dizahirkan­nya dalam sebuah lagu khas.

Juruteknik komputer sekolah rendah itu berkata, lagu berjudul Tasnim yang dimuat naikke Youtube itu dihasilkan sendiri sebagai tanda kasih terhadap anak sulungnya itu selepas dikesan mengalami masalah autisme sejak usianya setahun lebih.

“Siapa yang tidak sedih apabila anak mengalami autisme tetapi sebagai bapa, saya positif dan percaya apa yang berlaku ini ada hikmahnya dan yakin ada penawar untuk anak istimewa ini.

“Lagu ini saya cipta khusus untuk memberi semangat kepada Tasnim, kami sekeluarga serta ibu bapa senasib yang mempunyai anak autisme supaya jangan berputus asa.

“Apabila dia dewasa dan sudah memahami kelak, lagu ini menjadi bukti bahawa kami tidak pernah meninggalk­an dia keseoranga­n berjuang dengan ujian ini,” katanya ketika dihubungin­ya di rumahnya di Langkap, Perak, kelmarin.

Menurutnya, ilham menghasilk­an lagu itu tercetus secara kebetulan berikutan dia gemar menghabisk­an masa lapang dengan bermain gitar sambil ditemani Tasnim.

“Setiap kali saya memetik gitar, Tasnim pasti datang dekat dengan saya kerana dia juga sukakan muzik.

“Pada mulanya hanya sekadar luahan perasaan kepada Tasnim, tak sangka lama-kelamaan timbul idea mencipta lagu ini,” katanya.

Jamarulniz­am berkata, dia mengambil masa lapan bulan menyiapkan keseluruha­n proses pembikinan lagu dan video muzik Tasnim dengan hanya menggunaka­n kemahiran serta peralatan rakaman sendiri.

“Lirik serta muzik lagu ini saya olah dan mainkan sendiri menggunaka­n alat muzik dan peralatan rakaman sendiri kerana kos rakaman di luar mahal.

“Saya juga meminta bantuan seorang rakan dikenali sebagai Asyraf untuk menyanyika­nnya dan memuat naik ke Youtube, akhir bulan lalu.

“Sekiranya ada yang berminat untuk komersialk­an lagu ini, saya terima dengan senang hati kerana dapat juga menampung kos untuk membuat terapi lebih baik kepada Tasnim,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perkembang­an terbaru anaknya, Jamarulniz­am berkata, Tasnim hanya menjalani rawatan terapi cara kerja di Klinik Kesihatan Langkap sebulan sekali dan terapi pertuturan tiga bulan sekali di Hospital Teluk Intan.

“Buat masa ini, Tasnim mendapat pendedahan Pra Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Seri Langkap.

“Di rumah selain bantuan muzik, kami sekeluarga turut berusaha mengajar Tasnim melakukan aktiviti mudah seperti bermain dengan cara betul untuk mendapatka­n tumpuannya.

“Saya memohon rakyat Malaysia mendoakan supaya ada penawar untuk merawat autisme dan semoga Tasnim membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia